Jins Shamsudin lupa, SM Salim menangis
TATKALA umur sudah
mencecah angka emas, ingatan adalah segala-galanya. Bukan wang ringgit yang
mereka cari sebaliknya perhatian sebagai tanda ingatan.
Itu yang ketara
kelihatan di wajah dua Tan Sri yang sudah menabur jasa dan keringat dalam dunia
seni masing-masing. Tan Sri Jins Shamsudin ialah anak kelahiran Perak yang
sebati dalam dunia lakonan.
Begitu juga dengan Tan
Sri SM Salim yang sehingga kini menjadi penghibur jiwa dengan suaranya yang
tersendiri. Kini mereka sedang meniti hari tua bersama keluarga dengan keadaan
kesihatan yang seiring usia.
Jins hilang
memori
Jins masih berdiri tegap
manakala pakaiannya kemas melekat pada tubuhnya. Berkemeja dan berseluar
panjang, lelaki yang berumur 78 tahun itu tersenyum tatkala disapa tetamu yang
hadir ke rumah.
Dahulu, riuh rumah Jins
dengan suaranya mengalu-alukan kedatangan tetamu namun kini hanya tetamu
menyapa namanya. Tiada balasan selain senyuman dan jemputan masuk. Dia jelas
sudah hilang memori terhadap nama-nama yang pernah rapat dengan dirinya.
Mewakili Yayasan 1
Malaysia, nama-nama besar seperti Datuk A. Rahman Hassan, Datuk DJ Dave, Datuk
M. Daud Kilau, Nancie Foo dan Nash, mereka meluangkan waktu bertemu dengan
seseorang yang sesuai digelar guru.
Mereka juga menjadi wakil bagi menghulurkan
sumbangan sebagai tanda penghargaan kepada insan seni yang mereka hormati
sejajar dengan penubuhan Yayasan itu sejak 11 November 2012.
Walaupun nama para
tetamunya sudah luput daripada ingatan Jins, mereka tetap bergurau seperti
biasa dan mendengar kata-kata yang hanya sekali sekala keluar daripada mulut
aktor yang sinonim dengan watak ejen perisik Jefri Zain.
Selebihnya sang isteri,
Puan Sri Halijah Abdullah, 54, kini menjadi suara Jins lantaran beliau diserang
penyakit Alzheimer. Sekali sekala, anaknya, Hang Nadim menambah fakta sekiranya
Jins yang terdiam, memandang dengan pandangan kosong.
"Dia tidak cam
walaupun muka sendiri di kaca televisyen. Katanya nama orang yang di dalam
televisyen itu lain dengan dirinya. Tempoh hari, Noorkumalasari datang pun dia
tidak ingat sedangkan itu kegemaran dia," ujar Halijah tentang suaminya.
Disoal tentang tahap
kesihatan Jins, Halijah tersenyum sambil memanjat syukur. Penghulu keluarga
mereka itu sedang diuji Allah. Cuma sebulan sekali, Jins dibawa ke Temerloh,
Pahang untuk urutan di bahagian tangan.
"Aktivitinya
pagi-pagi kami akan berjalan di sekitar kawasan rumah selama 15 minit. Bawa
naik bukit dan kena cahaya matahari pagi. Kemudian dia akan tengok televisyen
atau berbaring. Jins juga gemar membaca surat khabar dan akan mengambil masa
sejam untuk membaca semua berita. Sekali sekala Nadim akan bawa dia menonton
wayang. Dia tonton tapi dalam pandangan yang kosong," tambah Halijah.
Kesibukan dan terlampau
fokus kepada kerja menjadi penyumbang kepada kehilangan memori Jins kepada
peristiwa silam. Yang diingati adalah zaman Jalan Ampas dan Finas, selebihnya
memorinya terendam bersama waktu berlalu.
"P. Ramlee itu guru
saya," tiba-tiba Jins bersuara sekali gus membuat semua memandangnya. Dia
kemudian menyambung renungan entah ke mana.
Jins pernah melanjutkan
pengajian dalam bidang perfileman di London Film School pada tahun 1970-1972
dan menerima diploma dengan kelas pertama.
Pada tahun 1999, dia
menerima Ijazah Kehormat Sarjana Persuratan daripada Universiti Sains Malaysia.
Pada 24 Mac 2010 pula,
Jins menerima Ijazah doktor falsafah (PhD) daripada Universiti Utara Malaysia
(UUM) sempena konvokesyen ke-23.
"Begitulah dia,
cakapnya memang sedikit dan memang sejak azali begitu. Dia tidak mahu bercakap
kalau bukan hal yang mustahak. Dia lebih gemar membaca. Dulu kalau diajak
bercuti pun dia enggan. Saya bersyukur dengan kesihatannya. Melihat pada satu
sudut, walaupun diserang Alzheimer tetapi sekurang-kurangnya kami sudah dapat
dia kembali. Dulu selalunya dia tiada di rumah," senyum Halijah sebelum
tetamu beredar langkah.
Mahu menyanyi
Sedikit berbeza dengan
Jins, SM Salim menyambut tetamunya dengan air mata. Air mata SM Salim jatuh
tatkala sampul surat berserta cek sampai di tangannya.
SM Salim tidak
putus-putus mengucapkan terima kasih atas kunjungan rakan seperjuangannya
tatkala dia kini berkerusi roda.
Tidak lama dia menyimpan
emosi itu kerana tidak mahu semua yang hadir hanyut dalam tangisan. Dia
tersenyum menyambung lawak jenaka. Ujar Datuk DJ Dave, SM Salim tidak pernah
gagal membuat semua yang dekat dengan dirinya ketawa dan sikap itulah sebenarnya
yang membuatkan penyanyi berusia 84 tahun itu terus sihat dan kelihatan segar.
"Saya ni
sihat-sihat orang tua. Tangan dan kaki susah sedikit nak digerakkan. Jadi kalau
mahu makan, kena pakai sudu," kata Sheikh Salim Sheikh Muhammad Al Mahros
yang mencipta tapak dalam dunia seni sebagai penyampai radio.
"Saya sangat
berbesar hati dengan rombongan ini. Saya fikir orang tidak ingat dan saya tidak
sangka akan dapat duit banyak. Ingatkan semua dah tak peduli," katanya
yang terharu dengan rombongan Yayasan Artis 1 Malaysia yang hadir ke rumahnya
di Sering Ukay, Ampang, Kuala Lumpur.
Didampingi nama-nama
yang sama-sama berjuang atas nama seni, SM Salim sempat meluahkan rasa.
Keinginannya untuk menyanyi semula disuarakan.
"Saya sebenarnya
gian mahu menyanyi. Magisnya bila menyanyi sahaja keadaan saya terus jadi baik.
Aktiviti saya sekarang kalau duduk sendiri, saya akan pasang balik lagu-lagu
saya dan dengar di mana salah saya menyanyi dalam rakaman tersebut,"
luahnya yang ketara kedengaran rindu dengan dunia nyanyian pentas dan rakaman.
Sudah darah anak seni,
segala yang terjadi dalam cabang dunianya menjadi perhatian dan tatapan. Dari
atas kerusi roda, SM Salim menjadi pemerhati. Ujarnya penuh ikhlas akan
kekhilafan yang dilakukan penyanyi sekarang yang jelas di matanya.
"Penyanyi sekarang
banyak nyanyi tidak betul. Lirik tidak kena dan begitu juga suara. Kalaulah
bukan kerana cetak rompak dulu, sekarang kita sudah kaya raya. Filem pun sama
juga pergerakannya," luah hati seorang biduan yang sudah berangkai ratusan
lagu-lagunya dalam rakaman.
"Saya kalau
menyanyi sambil duduk, nyanyian saya bagus. Tetapi kalau berdiri tidak
bagus," jujurnya yang ketara memang mahu menyanyi dan menghibur semula.
Sebelum tetamu berundur pulang, dia memberi
hadiah istimewa walau sekejap cuma. Bait-bait lagu Pasir Roboh dinyanyikan
seketika. Sesekali dia berhenti sebelum menyambung nyanyian. Jelas dia rindu,
serindu pencinta suaranya.
Kita tidak sentiasa muda.
Yang muda akan jadi tua. Yang tua sampai masa akan kembali kepada Allah.
Justeru jangan lupa mencari Allah sebelum kita sakit atau uzur akibat dipanjat
usia. Jangan hanya cinta dunia sahaja. Jangan juga cinta kepada harta dan wang
ringgit semata mata. Jangan juga menipu manusia lain kerana pentingkan diri
sendiri. Ingatlah akhirat adalah kampung yang sebenar benarnya dan sebaik baik
tempat berehat!