Andalusia: Sejarah Islam
disembunyikan?
APABILA disebut Eropah, majoriti
dalam fikiran menggambarkan ia merupakan satu negara yang penghuninya cuma
terdiri daripada warga Barat. Mungkin tidak terlintas langsung untuk menjengah
secara lebih mendalam berhubung asal usulnya.
Tetapi ketahuilah, di sana ada
fakta sejarah iaitu di Eropah pernah terbinanya negara Islam yang paling kuat
di dunia. Salah satu daripada negara di Eropah yang memiliki khazanah Islam
yang terkaya adalah di Andalusia atau nama sekarangnya Sepanyol.
Nama Andalusia diambil sempena
istilah bahasa Arab, Al Andalus, merujuk kepada bahagian jazirah Iberia yang
dahulunya berada di bawah pemerintahan Muslim. Baru-baru ini, Ahli Jawatankuasa
Fatwa Negeri Perlis di bawah Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis
(MAIPs) mengadakan lawatan kerja ke Andalusia.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed
Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua MAIPs berkenan memimpin
lawatan tersebut. Ketika menuju Andalusia baru-baru ini, teringat kepada lirik
lagu nasyid kumpulan Far East berjudul ‘Ma Assalam Ya Andalus’ dan ‘Alhambra’,
tetapi lirik sependek itu tidak dapat memberikan gambaran secara yang lebih
jelas berhubung Andalusia. Sebenarnya, ada kisah amat menarik, tetapi terlalu
pahit untuk ditelan buat umat Islam.
Mungkin ramai yang tidak
menyedari atau mengetahui sejarah hitam itu, tetapi sedikit info kali ini
mungkin boleh dikongsi. “Menangislah anakku, bak kaum wanita menangis ke atas
kerajaanmu yang hilang kerana kamu tidak dapat memeliharanya seperti kaum
lelaki". Begitulah ucapan seorang bonda raja dalam sejarah Islam di
Andalus, Sepanyol. Ia diucapkan oleh Aisyah kepada anaknya, Abu Abdullah
daripada puak Bani al-Ahmar, raja terakhir kerajaan Islam Granada pada 21
Muharam 897 Hijrah yang memeterai perjanjian penyerahan kerajaannya kepada Raja
Kristian Sepanyol, Ferdinand dan Isabella. Dengan itu, berakhirlah era kerajaan Islam di
bumi Eropah setelah berkuasa 800 tahun. Bani al-Ahmar merupakan puak yang
menguasai wilayah Islam terakhir di Sepanyol iaitu Granada dari 620 Hijrah
hingga 897 Hijrah iaitu pada tahun di mana perjanjian penyerahan kerajaannya
kepada Raja Kristian Sepanyol, Ferdinand dan Isabella dimeterai.
Perjanjian yang melibatkan 67
perkara itu, termasuklah jaminan keselamatan orang Islam di Sepanyol, tetapi
pada akhirnya ia tidak pernah direalisasikan. Malah, 300 tahun kemudian, Islam
dan tanda-tandanya semakin terhakis di bumi Sepanyol, seolah-olah Islam dan
tamadunnya tidak pernah wujud di negara itu walaupun ia pernah menyinari dan
menerajuinya 800 tahun. Perjanjian ini
akhirnya dimeterai kerana menerima banyak tekanan daripada orang Kristian
Sepanyol, termasuk kejadian paling memilukan dalam sejarah Islam pada 892
Hijrah. Ketika itu, beribu-ribu umat Islam yang dijanji boleh menyelamatkan
diri dengan berlayar ke Afrika dibunuh beramai-ramai secara kejam atau tanpa
perikemanusiaan.
Dalam tragedi tersebut, umat
Islam mati bermandikan darah angkara tentera Kristian. Sebelum dibunuh, mereka
bersembunyi di rumah masing-masing. Bagi
membunuh penganut Islam, tentera Kristian menggunakan satu penipuan besar. Tentera
Kristian membuat pengumuman bahawa orang Muslim Granada boleh meninggalkan
rumah secara aman bagi menaiki kapal untuk berlayar meninggalkan Sepanyol
sambil membawa barangan keperluan masing-masing. Tentera yang sama juga memaklumkan jaminan
keselamatan bagi mereka yang ingin meninggalkan Sepanyol. Pun begitu, masih
ramai yang meragui tawaran tersebut. Bagaimanapun,
selepas umat Islam melihat sendiri kapal di pelabuhan telah disediakan untuk
membawa mereka belayar, barulah mereka menerima tawaran berkenaan. Keesokan
harinya, beribu-ribu warga Muslim Granada keluar membawa barang keperluan
menuju pelabuhan. Pun begitu, bagi yang tidak mempercayai tawaran tentera Salib
itu, mereka terus bertahan dan bersembunyi di rumah masing-masing. Sesudah umat
Islam berkumpul di pelabuhan, tentera Kristian segera menggeledah rumah yang
ditinggalkan, kemudian membakarnya.
Umat Islam yang ada di pelabuhan
pula tergamam apabila tentera Kristian membakar kapal yang dikatakan akan
membawa mereka keluar dari Sepanyol. Ketika kapal ditenggelamkan, umat Islam
tidak dapat berbuat apa-apa kerana mereka tidak bersenjata. Majoritinya wanita
dan kanak-kanak, sedangkan tentera Kristian mengepung dengan pedang terhunus. Setelah
menerima arahan ketua tentera, umat Islam di pelabuhan itu dibunuh kejam tanpa
secebis simpati. Jerit tangis dan takbir terus terdengar, tetapi secara buas
tentera Kristian semakin ganas membunuh warga awam yang sama sekali tidak
berdaya. Seluruh Muslim Andalusia yang ada di pelabuhan ketika itu berakhir
dengan maut. Darah mengalir di merata-rata. Laut yang biru di pelabuhan
bertukar menjadi merah kehitamhitaman. Itulah kisah menyedihkan dalam sejarah
umat Islam yang tidak boleh dilupakan.
Selepas kejadian itu dan
memerintah Sepanyol selama 300 tahun, apa yang pasti, tidak ada tanda atau
simbol Islam yang kekal di negara tersebut. Umat Islam diugut dan diseksa oleh
tentera Kristian Sepanyol dengan pelbagai ugutan dan seksaan yang sangat kejam,
mengerikan dan menakutkan serta tidak ada langsung belas kasihan. Mereka
(penganut Kristian di Sepanyol ketika itu) tidak mahu Islam wujud langsung.
Ekoran itu, umat Islam amat tersepit, sehingga ada yang mengaku Kristian,
padahal mereka masih Muslim. Ia terpaksa dibuat kerana terlalu perit ancaman
yang terlalu sukar untuk diceritakan secara lisan. Sebenarnya, Islam mula masuk
ke Sepanyol pada 92 Hijrah di bawah kepemimpinan Panglima Tariq bin Ziyad, Musa
bin Nusair dan Abdul Aziz bin Musa. Selepas kemasukan mereka melalui Jabal
Tariq (Gibral Tar) pada tahun itu, Sepanyol kemudian muncul menjadi negeri
paling makmur.
Pasukan Islam tidak hanya
berhenti di Sepanyol, malah terus memperbesarkan empayar ke negara sekitar
seperti Perancis. Kota Carcassone, Nimes, Bordeaux, Lyon, Poitou dan Tours. Walaupun
pasukan Islam sangat kuat dan memiliki kekuasaan yang luas, tetapi mereka tetap
mengutamakan toleransi kepada suku Goth dan Navaro di daerah sebelah barat yang
juga kawasan pergunungan. Islam sudah menerangi Sepanyol dan oleh kerana sikap
penguasa Islam begitu baik dan rendah diri, ia terus mendorong warga Sepanyol
yang tulus dan ikhlas memeluk Islam. Mereka
bukan hanya beragama Islam, namun amat mempraktikkan kehidupan secara Islam.
Mereka tidak hanya membaca al-Quran, malah bertingkah laku berdasarkan
al-Quran. Suasana sedemikian berlangsung hampir enam abad.
Pemimpin Islam ketika itu cukup
berwibawa dan digeruni. Abdul Rahman al-Dakhil sebagai contoh, adalah individu
yang menyambung Kerajaan Bani Umayyah di Andalus setelah Umayyah di pusat iaitu
di Damsyik telah jatuh. Abdul Rahman al-Dakhil pernah dijemput oleh pemimpin
Kristian yang dibantunya ketika memerangi musuh. Beliau turut dipelawa minum
arak, tetapi ditolak secara diplomasi dengan berkata: “Aku memerlukan tambahan
untuk otakku bukan untuk mengurangkannya". Pun begitu, ketika Islam kian
kukuh di Andalus berabad-abad lamanya, ia tetap dikeliling orang kafir Sepanyol
yang sedia menanti untuk menghapuskan Islam, tetapi selalu gagal.
Beberapa kali dicuba, namun tidak
berhasil. Mereka kemudian menghantar perisik untuk mengkaji kelemahan umat
Islam di Sepanyol. Akhirnya perisik menemui cara bagi menakluki Islam di
Sepanyol, iaitu melemahkan iman dengan serangan pemikiran dan budaya. Musuh
kemudian secara senyap menghantar arak secara percuma ke wilayah Sepanyol.
Muzik diperdengarkan untuk memujuk golongan muda agar lebih suka menyanyi dan
menari daripada membaca al-Quran. Punca lain adalah perbalahan dan permusuhan
sesama sendiri sehingga mewujudkan 20 puak yang mempunyai negeri masing-masing.
Antaranya Bani Jahur, Bani ‘Ibad, Bani al-Aftas dan Bani Nun. Ekoran wujudnya
pelbagai puak, mudahlah musuh Islam di Andalus merebut kembali tanah. Apa yang
menyedihkan, ada umat Islam yang ‘menjual’ agama dan negara demi kepentingan
peribadi. Contohnya, Gabenor Daerah Balansiah, Abu Zaid ketika berdepan dengan
rakyatnya yang memberontak, dia terus membuat perjanjian dengan Raja Kristian
Choinawi untuk membantu menghapuskan pemberontakan tersebut.
Habuannya, Abu Zaid akan
memberikan beberapa kawasan kepada Choinawi dan membayar ‘jizyah’ tahunan
kepadanya. Jizyah dalam Islam mesti dibayar oleh bukan Islam kepada pemerintah
Islam, tetapi apa yang dilakukan oleh Abu Zaid yang beragama Islam adalah
terbalik, apabila berjanji membayar jizyah kepada Choinawi yang beragama
Kristian. Sebenarnya, 800 tahun bukan singkat. Selepas umat Islam
‘menghidupkan’ Sepanyol dan menjadikannya bangsa bertamadun berbanding bangsa
lain di Eropah, akhirnya seolah-olah kehebatan tersebut tidak pernah wujud. Apa
yang pasti, Sepanyol sekarang bukan Sepanyol dulu. Sepanyol hari ini bukanlah
Andalus pada satu masa dulu.
No comments:
Post a Comment