Tiada
bahagianya andartu
CERITA
Norazlinda tentang bahagianya jadi andartu seperti diceritakannya di ruangan
ini sebulan lalu, disanggah oleh Masizlah, pensyarah IPTA yang mendakwa
pandangan itu salah kerana gagal menghayati tujuan Allah mencipta lelaki dan
ada perempuan.
''Saya berani menyanggah
pendirian dan pemikiran Norazlinda kerana sesungguhnya apabila seseorang lelaki
dan wanita itu berkahwin maka dengan sendirinya dia menamatkan zaman bujangnya
dan itu yang harus menjadi matlamat umat Nabi Muhammad. ''Saya mula mengikuti
ruangan ini sejak zaman menuntut lagi, hinggalah kini bergelar warga emas,
setiap minggu pasti ada keluhan wanita yang menghadapi masalah rumah tangga
tetapi wanita tetap tidak pernah putus asa melangsungkan perkahwinan.
''Dalam kehidupan berumahtangga
ada gembira dan kecewa. Namun pengalaman itu tidak akan dirasai oleh andartu
seperti Norazlinda. Saya kasihan pada Norazlinda kerana dia tak berani membuat
perubahan dalam hidupnya. ''Secara terus-terang, dulu pun saya seperti Norazlinda.
Saya leka dan berbangga dengan status andartu kerana ketika itu saya ada wang,
ada teman lelaki dan perempuan, kerjaya sangat bagus, ekonomi mantap dapat
bantu orang tua, keluarga malah sahabat handai. Pendek kata saya ada
segala-galanya.
''Waktu itu saya fikir saya
'selamat' daripada 'kesengsaraan' hidup seperti kebanyakan wanita yang bernasib
malang dalam perkahwinan. Ditambah pula ketika itu saya sendiri pernah kecewa
bercinta, lantas saya tidak takut dengan status andartu. ''Lebih-lebih lagi
saya ada segalanya, wang, masih muda, cukup dikenali dalam kerjaya saya,
kesihatan terjaga, rajin bersukan dan melakukan apa juga aktiviti yang saya
suka pada bila-bila masa dan di mana sahaja. ''Hakikatnya, apabila usia
memanjat waktu , saya terfikir sampai bila saya harus hidup sendirian. Semua
kelebihan yang saya banggakan sebagai andartu, lambat laun akan 'diambil' oleh
yang empunya. Tuhan memberi semua itu hanya untuk sementara. Sampai waktu kita
tidak akan punya apa-apa lagi.
''Saya berani katakan di sini, semua
andartu yang berani dan lantang mengatakan boleh mengecap nikmat kebahagiaan
sendiri hanyalah golongan andartu yang di bawah usia 50 tahun. Apabila mencecah
usia emas terutama setelah bersara, ketika itu ibu bapa sudah tiada di sisi,
anda akan merasa betapa sunyinya hidup sendirian.
''Nak harapkan kawan-kawan,
mereka tidak boleh selalu berada disisi, mereka pasti sibuk dengan keluarga
sendiri, sementara saudara kandung juga sudah dimamah usia, jadi kepada siapa
anda boleh bergantung harap untuk memenuhi hari-hari yang banyak terluang?
''Percayalah, apabila sampai usia
emas, anda akan hilang kegemilangan hidup zaman andartu yang sentiasa ceria dan
gembira sebaliknya bertukar muram dan pudar. Yang semakin pasti, tiada sesiapa
di sekeliling yang akan benar-benar dapat mendampingi kita ketika usia emas.
Anak saudara pun menghilang membawa haluan masing-masing meskipun waktu kecil
mereka, anda yang menjaga dan membesarkan mereka.
''Pada usia emas juga, anda mula
diserang sakit-sakit sendi sehingga menyukarkan bergerak bebas. ''Jika
ditakdirkan anda sakit dan memerlukan rawatan, siapakah yang akan membawa anda
ke kelinik, ke hospital atau menemani anda jika sakit berpanjangan?
''Memikirkan masalah seperti inilah, maka saya buang status andartu kebanggaan
saya sepanjang usia saya 37 tahun sebaliknya menyimpan azam mahu berkahwin.
Memang pada awalnya sukar, tetapi setelah berfikir panjang, saya bertekad.
"Saya kikis habis sikap
sombong dan bangga dengan status andartu. Tidak kira pahit mana pun pengalaman
dikecewakan ketika bercinta dulu, mahupun deritanya hidup wanita diseksa suami
atau diceraikan, saya nekad berkahwin. Jika diizinkan mungkin jodoh saya hingga
ke akhir hayat, jika tidak saya berserah kepada Allah.
''Alhamdulillah, walaupun ketika
itu usia saya 37 tahun, berkat doa, seorang jejaka menghampiri. Kini, telah 17
tahun usia perkahwinan kami. Saya memiliki dua putera yang sudah dalam belasan
tahun. Rezeki saya bertambah kerana setahun berkahwin, saya mendapat biasiswa
melanjutkan pelajaran ke luar negara dan suami berjaya dalam bidang perniagaan
yang diminatinya.
''Tawakal saya kepada Allah bukan
setakat memberikan jodoh, malahan menerima apa juga ciri suami yang dijodohkan
tidak kira usia dan latar pendidikannya. Pokok pangkal, saya berpegang kepada
agama. Saya dan suami berkompromi, paling penting, jangan sombong dengan apa
yang Allah berikan kepada kita. ''Bohonglah kalau saya katakan segala-galanya
manis. Hidup sebagai andartu juga saya tahu tidak semuanya manis. Jangan
pandang sinis terhadap kehidupan orang lain seperti anggapan Norazlinda
terhadap ibu dan kakaknya yang dikatakan 'sengsara' dek kerenah suami tidak
bertanggungjawab.
''Nasihat saya, berdoa dan
yakinlah kepada Allah kerana Dia yang mengatur segala-galanya. Kepada semua
andartu, mulai saat ini berdoalah, mohonlah dipertemukan jodoh yang baik dan
melahirkan zuriat, yang akan mendoakan kita di dunia dan akhirat. ''Saya
sendiri jadi saksi perbezaan hidup seorang andartu dengan wanita berkahwin.
Bertawakallah bahawa perkahwinan yang diberikan oleh Allah itu adalah
sebaik-baik kehidupan kurniaan-Nya.'' Itu nasihat Masizlah kepada andartu agar
jangan lagi buang masa mencari jodoh yang telah ditentukan Allah di luar sana.
No comments:
Post a Comment