Saturday 7 July 2012

Tiada bahagianya andartu


Tiada bahagianya andartu

CERITA Norazlinda tentang bahagianya jadi andartu seperti diceritakannya di ruangan ini sebulan lalu, disanggah oleh Masizlah, pensyarah IPTA yang mendakwa pandangan itu salah kerana gagal menghayati tujuan Allah mencipta lelaki dan ada perempuan.

''Saya berani menyanggah pendirian dan pemikiran Norazlinda kerana sesungguhnya apabila seseorang lelaki dan wanita itu berkahwin maka dengan sendirinya dia menamatkan zaman bujangnya dan itu yang harus menjadi matlamat umat Nabi Muhammad. ''Saya mula mengikuti ruangan ini sejak zaman menuntut lagi, hinggalah kini bergelar warga emas, setiap minggu pasti ada keluhan wanita yang menghadapi masalah rumah tangga tetapi wanita tetap tidak pernah putus asa melangsungkan perkahwinan.

''Dalam kehidupan berumahtangga ada gembira dan kecewa. Namun pengalaman itu tidak akan dirasai oleh andartu seperti Norazlinda. Saya kasihan pada Norazlinda kerana dia tak berani membuat perubahan dalam hidupnya. ''Secara terus-terang, dulu pun saya seperti Norazlinda. Saya leka dan berbangga dengan status andartu kerana ketika itu saya ada wang, ada teman lelaki dan perempuan, kerjaya sangat bagus, ekonomi mantap dapat bantu orang tua, keluarga malah sahabat handai. Pendek kata saya ada segala-galanya.

''Waktu itu saya fikir saya 'selamat' daripada 'kesengsaraan' hidup seperti kebanyakan wanita yang bernasib malang dalam perkahwinan. Ditambah pula ketika itu saya sendiri pernah kecewa bercinta, lantas saya tidak takut dengan status andartu. ''Lebih-lebih lagi saya ada segalanya, wang, masih muda, cukup dikenali dalam kerjaya saya, kesihatan terjaga, rajin bersukan dan melakukan apa juga aktiviti yang saya suka pada bila-bila masa dan di mana sahaja. ''Hakikatnya, apabila usia memanjat waktu , saya terfikir sampai bila saya harus hidup sendirian. Semua kelebihan yang saya banggakan sebagai andartu, lambat laun akan 'diambil' oleh yang empunya. Tuhan memberi semua itu hanya untuk sementara. Sampai waktu kita tidak akan punya apa-apa lagi.

''Saya berani katakan di sini, semua andartu yang berani dan lantang mengatakan boleh mengecap nikmat kebahagiaan sendiri hanyalah golongan andartu yang di bawah usia 50 tahun. Apabila mencecah usia emas terutama setelah bersara, ketika itu ibu bapa sudah tiada di sisi, anda akan merasa betapa sunyinya hidup sendirian.

''Nak harapkan kawan-kawan, mereka tidak boleh selalu berada disisi, mereka pasti sibuk dengan keluarga sendiri, sementara saudara kandung juga sudah dimamah usia, jadi kepada siapa anda boleh bergantung harap untuk memenuhi hari-hari yang banyak terluang?

''Percayalah, apabila sampai usia emas, anda akan hilang kegemilangan hidup zaman andartu yang sentiasa ceria dan gembira sebaliknya bertukar muram dan pudar. Yang semakin pasti, tiada sesiapa di sekeliling yang akan benar-benar dapat mendampingi kita ketika usia emas. Anak saudara pun menghilang membawa haluan masing-masing meskipun waktu kecil mereka, anda yang menjaga dan membesarkan mereka.

''Pada usia emas juga, anda mula diserang sakit-sakit sendi sehingga menyukarkan bergerak bebas. ''Jika ditakdirkan anda sakit dan memerlukan rawatan, siapakah yang akan membawa anda ke kelinik, ke hospital atau menemani anda jika sakit berpanjangan? ''Memikirkan masalah seperti inilah, maka saya buang status andartu kebanggaan saya sepanjang usia saya 37 tahun sebaliknya menyimpan azam mahu berkahwin. Memang pada awalnya sukar, tetapi setelah berfikir panjang, saya bertekad.

"Saya kikis habis sikap sombong dan bangga dengan status andartu. Tidak kira pahit mana pun pengalaman dikecewakan ketika bercinta dulu, mahupun deritanya hidup wanita diseksa suami atau diceraikan, saya nekad berkahwin. Jika diizinkan mungkin jodoh saya hingga ke akhir hayat, jika tidak saya berserah kepada Allah.

''Alhamdulillah, walaupun ketika itu usia saya 37 tahun, berkat doa, seorang jejaka menghampiri. Kini, telah 17 tahun usia perkahwinan kami. Saya memiliki dua putera yang sudah dalam belasan tahun. Rezeki saya bertambah kerana setahun berkahwin, saya mendapat biasiswa melanjutkan pelajaran ke luar negara dan suami berjaya dalam bidang perniagaan yang diminatinya.

''Tawakal saya kepada Allah bukan setakat memberikan jodoh, malahan menerima apa juga ciri suami yang dijodohkan tidak kira usia dan latar pendidikannya. Pokok pangkal, saya berpegang kepada agama. Saya dan suami berkompromi, paling penting, jangan sombong dengan apa yang Allah berikan kepada kita. ''Bohonglah kalau saya katakan segala-galanya manis. Hidup sebagai andartu juga saya tahu tidak semuanya manis. Jangan pandang sinis terhadap kehidupan orang lain seperti anggapan Norazlinda terhadap ibu dan kakaknya yang dikatakan 'sengsara' dek kerenah suami tidak bertanggungjawab.

''Nasihat saya, berdoa dan yakinlah kepada Allah kerana Dia yang mengatur segala-galanya. Kepada semua andartu, mulai saat ini berdoalah, mohonlah dipertemukan jodoh yang baik dan melahirkan zuriat, yang akan mendoakan kita di dunia dan akhirat. ''Saya sendiri jadi saksi perbezaan hidup seorang andartu dengan wanita berkahwin. Bertawakallah bahawa perkahwinan yang diberikan oleh Allah itu adalah sebaik-baik kehidupan kurniaan-Nya.'' Itu nasihat Masizlah kepada andartu agar jangan lagi buang masa mencari jodoh yang telah ditentukan Allah di luar sana.



Nabi Ibrahim dan sejarah Air Zam Zam


Nabi Ibrahim dan sejarah Air Zam Zam

Jika diimbas sejarah awal kota Makkah, orang pertama menduduki kota suci ini adalah Ismail AS sebelum menjadi nabi bersama ibunya Siti Hajar, tatkala mereka berdua ditinggalkan ayahnya Nabi Ibrahim AS di lembah kering kontang itu. Sebagai tanda keagungan Allah SWT bagi memelihara Ismail dan ibunya, Siti Hajar, dikeluarkan satu mata air dikenali sebagai air zam zam di tengah padang pasir yang tandus.

Dalam ruangan kali ini, suka untuk saya berkongsi kisah mengenai air zam zam yang penuh berkat ini, sebagai tanda keagungan Allah SWT bagi yang berfikir. Ibnu Abbas RA meriwayatkan, bahawasanya Ibrahim meninggalkan Siti Hajar dan puteranya Ismail di satu lembah di tengah padang pasir yang tandus.

Di kala itu, tidak ada seorang pun menduduki kawasan berkenaan dan tidak ada sumber air di sana. Ibrahim AS meninggalkan kedua-duanya di sana dan hanya memberi bekalan dua kantung yang satunya berisi kurma dan satu lagi berisi air. Sewaktu Nabi Ibrahim AS ingin meninggalkan kedua-duanya, lalu Siti Hajar mengejarnya seraya berkata: “Wahai Ibrahim, ke mana kamu akan pergi dan meninggalkan kami di lembah yang tidak ada manusia dan sesuatu pun di dalamnya?” Dia mengatakan hal itu berkali-kali, sementara Ibrahim AS tidak menoleh kepadanya.

Tiba-tiba Hajar berkata: “Adakah Allah memerintahkan kamu dengan ini?” Maka Ibrahim AS menjawab: “Ya.” Kemudian Siti Hajar berkata: “Kalau begitu, Dia tidak akan mensia-siakan kami.” Lantas dia kembali kepada Ismail dan berangkatlah Ibrahim sehingga kedua-duanya hilang daripada pandangan mata.

Selepas itu, Nabi Ibrahim menghadap ke arah lembah berkenaan dan mengangkat kedua-dua tangannya lalu berdoa, seperti yang termaktub dalam kitab al-Quran iaitu surah Ibrahim, ayat 37, yang bermaksud: “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya aku menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di sisi rumahMu (Baitullah Al-Haram) yang dihormati, wahai Tuhan kami (yang demikian itu) supaya mereka mendirikan solat, maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan berilah mereka rezeki daripada buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur.”

Dua kantung air ditinggalkan Nabi Ibrahim AS sememangnya diketahui tidak cukup untuk keperluan seseorang. Lantaran kehausan, Ismail menangis kerana lapar dan dahaga. Melihat keadaan anaknya sedemikian, Siti Hajar pergi mencari air. Dia berjalan menuju Bukit Safa dan Marwah dengan harapan dapat bertemu pedagang yang membawa air. Setelah berulang-alik sebanyak tujuh kali di antara dua bukit itu, Siti Hajar tidak bertemu sesiapa pun. Berkata Ibnu Abbas, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Maka itulah saie manusia (orang haji dan umrah) antara kedua-duanya (Safa dan Marwah).” Kemudian apabila Siti Hajar naik ke Bukit Marwah, dia terdengar satu suara lalu dia berkata di dalam hati: “Sesungguhnya aku mendengar-Mu, jika engkau dapat memberi pertolongan, tolonglah kami.” Tiba-tiba dia ternampak Malaikat di samping anaknya Ismail. Malaikat itu menggali tanah dengan tumit atau sayapnya sehingga terpancutlah air iaitu air zam zam.

Dengan peristiwa yang penuh pengajaran ini, akhirnya dirakamkan di dalam al-Quran, dalam surah Al-Baqarah ayat 158, yang bermaksud: “Sesungguhnya Safa dan Marwah adalah sebahagian daripada syiar Allah. Barang siapa beribadah haji ke Baitullah atau melaksanakan umrah, tidak ada dosa baginya mengerjakan saie antara keduanya...” 

Saie satu rukun haji dan umrah, tanpanya kedua-dua ibadah dikira tidak sah. Air zam zam pula diberi nama kerana banyaknya air ini dan dikatakan juga kerana kepungan dilakukan Siti Hajar untuk mengepung air yang keluar. Begitulah kehebatan kisah permulaan air zam zam yang penuh berkat serta ibadah saie, rentetan kesusahan Siti Hajar berulang-alik dari Safa ke Marwah mencari air di tanah yang panas terik. Hikmahnya, air zam zam kekal sehingga ke hari ini dan menjadi air paling baik di dunia, dan sangat menakjubkan ia tidak pernah kering, malah boleh memberi minum kepada jutaan jemaah di Makkah dan Madinah hinggakan setiap jemaah yang menunaikan umrah dibekalkan 10 liter air zam zam percuma untuk dibawa pulang.

Antara hikmah dan manfaat air zam zam, ia anti oksida yang baik untuk tubuh kita. Selain itu, ia adalah penawar dan ubat bagi pelbagai penyakit, sebagaimana hadis Nabi SAW, yang bermaksud: “Air zam zam itu penuh berkat. Ia makanan yang mengenyangkan (dan ubat bagi merawat penyakit).” (Riwayat Muslim) Tercatat di dalam kitab Zaadul Ma’aad, bahawasanya Imam Ibnu Qayyim menceritakan pengalamannya berkaitan cara menyembuhkan penyakitnya dengan air zam zam yang diselitkan dengan cara rukyah daripada al-Quran apabila dia sakit.

“Pada satu ketika aku pernah jatuh sakit, tetapi aku tidak menemukan seorang doktor atau sebarang ubat. Lalu aku berusaha mengubati dan menyembuhkan diriku dengan surah al-Fatihah, maka aku melihat pengaruh yang sangat menakjubkan. “Aku ambil segelas air zam zam dan membacakan padanya surah al-Fatihah berkali-kali, lalu aku meminumnya sehingga aku mendapati diriku sembuh daripada penyakit.

“Kemudian aku bersandar dengan cara itu dalam mengubati pelbagai penyakit dan aku merasakan manfaat yang sangat besar. Kemudian aku memberitahu orang ramai yang menghidap penyakit dan ternyata ramai daripada mereka sembuh dengan cepat.” Sesungguhnya, begitu besar kebesaran Allah SWT seperti mana hebatnya air zam zam yang diturunkan kepada Ismail dan Siti Hajar serta kekal sehingga kini untuk hamba-Nya. Jadi, banyakkan meminumnya untuk kesejahteraan hidup kita sebagai Muslim yang bertakwa.


Andalusia Sejarah Islam disembunyikan


Andalusia: Sejarah Islam disembunyikan?

APABILA disebut Eropah, majoriti dalam fikiran menggambarkan ia merupakan satu negara yang penghuninya cuma terdiri daripada warga Barat. Mungkin tidak terlintas langsung untuk menjengah secara lebih mendalam berhubung asal usulnya.
Tetapi ketahuilah, di sana ada fakta sejarah iaitu di Eropah pernah terbinanya negara Islam yang paling kuat di dunia. Salah satu daripada negara di Eropah yang memiliki khazanah Islam yang terkaya adalah di Andalusia atau nama sekarangnya Sepanyol.
Nama Andalusia diambil sempena istilah bahasa Arab, Al Andalus, merujuk kepada bahagian jazirah Iberia yang dahulunya berada di bawah pemerintahan Muslim. Baru-baru ini, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis di bawah Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengadakan lawatan kerja ke Andalusia.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua MAIPs berkenan memimpin lawatan tersebut. Ketika menuju Andalusia baru-baru ini, teringat kepada lirik lagu nasyid kumpulan Far East berjudul ‘Ma Assalam Ya Andalus’ dan ‘Alhambra’, tetapi lirik sependek itu tidak dapat memberikan gambaran secara yang lebih jelas berhubung Andalusia. Sebenarnya, ada kisah amat menarik, tetapi terlalu pahit untuk ditelan buat umat Islam.
Mungkin ramai yang tidak menyedari atau mengetahui sejarah hitam itu, tetapi sedikit info kali ini mungkin boleh dikongsi. “Menangislah anakku, bak kaum wanita menangis ke atas kerajaanmu yang hilang kerana kamu tidak dapat memeliharanya seperti kaum lelaki". Begitulah ucapan seorang bonda raja dalam sejarah Islam di Andalus, Sepanyol. Ia diucapkan oleh Aisyah kepada anaknya, Abu Abdullah daripada puak Bani al-Ahmar, raja terakhir kerajaan Islam Granada pada 21 Muharam 897 Hijrah yang memeterai perjanjian penyerahan kerajaannya kepada Raja Kristian Sepanyol, Ferdinand dan Isabella.  Dengan itu, berakhirlah era kerajaan Islam di bumi Eropah setelah berkuasa 800 tahun. Bani al-Ahmar merupakan puak yang menguasai wilayah Islam terakhir di Sepanyol iaitu Granada dari 620 Hijrah hingga 897 Hijrah iaitu pada tahun di mana perjanjian penyerahan kerajaannya kepada Raja Kristian Sepanyol, Ferdinand dan Isabella dimeterai.
Perjanjian yang melibatkan 67 perkara itu, termasuklah jaminan keselamatan orang Islam di Sepanyol, tetapi pada akhirnya ia tidak pernah direalisasikan. Malah, 300 tahun kemudian, Islam dan tanda-tandanya semakin terhakis di bumi Sepanyol, seolah-olah Islam dan tamadunnya tidak pernah wujud di negara itu walaupun ia pernah menyinari dan menerajuinya 800 tahun.  Perjanjian ini akhirnya dimeterai kerana menerima banyak tekanan daripada orang Kristian Sepanyol, termasuk kejadian paling memilukan dalam sejarah Islam pada 892 Hijrah. Ketika itu, beribu-ribu umat Islam yang dijanji boleh menyelamatkan diri dengan berlayar ke Afrika dibunuh beramai-ramai secara kejam atau tanpa perikemanusiaan.
Dalam tragedi tersebut, umat Islam mati bermandikan darah angkara tentera Kristian. Sebelum dibunuh, mereka bersembunyi di rumah masing-masing.  Bagi membunuh penganut Islam, tentera Kristian menggunakan satu penipuan besar. Tentera Kristian membuat pengumuman bahawa orang Muslim Granada boleh meninggalkan rumah secara aman bagi menaiki kapal untuk berlayar meninggalkan Sepanyol sambil membawa barangan keperluan masing-masing.  Tentera yang sama juga memaklumkan jaminan keselamatan bagi mereka yang ingin meninggalkan Sepanyol. Pun begitu, masih ramai yang meragui tawaran tersebut.  Bagaimanapun, selepas umat Islam melihat sendiri kapal di pelabuhan telah disediakan untuk membawa mereka belayar, barulah mereka menerima tawaran berkenaan. Keesokan harinya, beribu-ribu warga Muslim Granada keluar membawa barang keperluan menuju pelabuhan. Pun begitu, bagi yang tidak mempercayai tawaran tentera Salib itu, mereka terus bertahan dan bersembunyi di rumah masing-masing. Sesudah umat Islam berkumpul di pelabuhan, tentera Kristian segera menggeledah rumah yang ditinggalkan, kemudian membakarnya.

Umat Islam yang ada di pelabuhan pula tergamam apabila tentera Kristian membakar kapal yang dikatakan akan membawa mereka keluar dari Sepanyol. Ketika kapal ditenggelamkan, umat Islam tidak dapat berbuat apa-apa kerana mereka tidak bersenjata. Majoritinya wanita dan kanak-kanak, sedangkan tentera Kristian mengepung dengan pedang terhunus. Setelah menerima arahan ketua tentera, umat Islam di pelabuhan itu dibunuh kejam tanpa secebis simpati. Jerit tangis dan takbir terus terdengar, tetapi secara buas tentera Kristian semakin ganas membunuh warga awam yang sama sekali tidak berdaya. Seluruh Muslim Andalusia yang ada di pelabuhan ketika itu berakhir dengan maut. Darah mengalir di merata-rata. Laut yang biru di pelabuhan bertukar menjadi merah kehitamhitaman. Itulah kisah menyedihkan dalam sejarah umat Islam yang tidak boleh dilupakan.
Selepas kejadian itu dan memerintah Sepanyol selama 300 tahun, apa yang pasti, tidak ada tanda atau simbol Islam yang kekal di negara tersebut. Umat Islam diugut dan diseksa oleh tentera Kristian Sepanyol dengan pelbagai ugutan dan seksaan yang sangat kejam, mengerikan dan menakutkan serta tidak ada langsung belas kasihan. Mereka (penganut Kristian di Sepanyol ketika itu) tidak mahu Islam wujud langsung. Ekoran itu, umat Islam amat tersepit, sehingga ada yang mengaku Kristian, padahal mereka masih Muslim. Ia terpaksa dibuat kerana terlalu perit ancaman yang terlalu sukar untuk diceritakan secara lisan. Sebenarnya, Islam mula masuk ke Sepanyol pada 92 Hijrah di bawah kepemimpinan Panglima Tariq bin Ziyad, Musa bin Nusair dan Abdul Aziz bin Musa. Selepas kemasukan mereka melalui Jabal Tariq (Gibral Tar) pada tahun itu, Sepanyol kemudian muncul menjadi negeri paling makmur.

Pasukan Islam tidak hanya berhenti di Sepanyol, malah terus memperbesarkan empayar ke negara sekitar seperti Perancis. Kota Carcassone, Nimes, Bordeaux, Lyon, Poitou dan Tours. Walaupun pasukan Islam sangat kuat dan memiliki kekuasaan yang luas, tetapi mereka tetap mengutamakan toleransi kepada suku Goth dan Navaro di daerah sebelah barat yang juga kawasan pergunungan. Islam sudah menerangi Sepanyol dan oleh kerana sikap penguasa Islam begitu baik dan rendah diri, ia terus mendorong warga Sepanyol yang tulus dan ikhlas memeluk Islam.  Mereka bukan hanya beragama Islam, namun amat mempraktikkan kehidupan secara Islam. Mereka tidak hanya membaca al-Quran, malah bertingkah laku berdasarkan al-Quran. Suasana sedemikian berlangsung hampir enam abad.
Pemimpin Islam ketika itu cukup berwibawa dan digeruni. Abdul Rahman al-Dakhil sebagai contoh, adalah individu yang menyambung Kerajaan Bani Umayyah di Andalus setelah Umayyah di pusat iaitu di Damsyik telah jatuh. Abdul Rahman al-Dakhil pernah dijemput oleh pemimpin Kristian yang dibantunya ketika memerangi musuh. Beliau turut dipelawa minum arak, tetapi ditolak secara diplomasi dengan berkata: “Aku memerlukan tambahan untuk otakku bukan untuk mengurangkannya". Pun begitu, ketika Islam kian kukuh di Andalus berabad-abad lamanya, ia tetap dikeliling orang kafir Sepanyol yang sedia menanti untuk menghapuskan Islam, tetapi selalu gagal.

Beberapa kali dicuba, namun tidak berhasil. Mereka kemudian menghantar perisik untuk mengkaji kelemahan umat Islam di Sepanyol. Akhirnya perisik menemui cara bagi menakluki Islam di Sepanyol, iaitu melemahkan iman dengan serangan pemikiran dan budaya. Musuh kemudian secara senyap menghantar arak secara percuma ke wilayah Sepanyol. Muzik diperdengarkan untuk memujuk golongan muda agar lebih suka menyanyi dan menari daripada membaca al-Quran. Punca lain adalah perbalahan dan permusuhan sesama sendiri sehingga mewujudkan 20 puak yang mempunyai negeri masing-masing. Antaranya Bani Jahur, Bani ‘Ibad, Bani al-Aftas dan Bani Nun. Ekoran wujudnya pelbagai puak, mudahlah musuh Islam di Andalus merebut kembali tanah. Apa yang menyedihkan, ada umat Islam yang ‘menjual’ agama dan negara demi kepentingan peribadi. Contohnya, Gabenor Daerah Balansiah, Abu Zaid ketika berdepan dengan rakyatnya yang memberontak, dia terus membuat perjanjian dengan Raja Kristian Choinawi untuk membantu menghapuskan pemberontakan tersebut.

Habuannya, Abu Zaid akan memberikan beberapa kawasan kepada Choinawi dan membayar ‘jizyah’ tahunan kepadanya. Jizyah dalam Islam mesti dibayar oleh bukan Islam kepada pemerintah Islam, tetapi apa yang dilakukan oleh Abu Zaid yang beragama Islam adalah terbalik, apabila berjanji membayar jizyah kepada Choinawi yang beragama Kristian. Sebenarnya, 800 tahun bukan singkat. Selepas umat Islam ‘menghidupkan’ Sepanyol dan menjadikannya bangsa bertamadun berbanding bangsa lain di Eropah, akhirnya seolah-olah kehebatan tersebut tidak pernah wujud. Apa yang pasti, Sepanyol sekarang bukan Sepanyol dulu. Sepanyol hari ini bukanlah Andalus pada satu masa dulu.