SURAH AL-FATIHAH
Amalkan membaca Surah
Al-Fatihah semasa hendak tidur diikuti dengan membaca Surah Al-Ikhlas 3 kali,
Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas. Insya’Allah akan aman tenteram dan
terjauh daripada gangguan syaitan. Dianjurkan juga membaca surah ini
sebanyak 44 kali untuk mengubati sakit mata, perut, gigi dan lain-lainnya
dengan izin Allah s.w.t. Untuk mencegah kemarahan Allah, bacalah
surah ini sebanyak 17 kali sehari iaitu dengan mengerjakan solat 5 waktu.
SURAH
YAASIN
Telah bersabda
Rasulullah s.a.w., sesungguhnya bagi setiap sesuatu itu ada hati, dan hati
Al-Qur’an ialah Surah Yaasin iaitu jantung Al-Qur’an. Sesiapa yang membaca
Surah Yaasin, nescaya dituliskan oleh Allah pahala menyamai sepuluh kali
membaca Al-Qur’an seluruhnya. (Hadis riwayat At-Tarmizi dari Anas r.a.). Rasulullah
s.a.w. juga bersabda : Surah Yaasin dinamakan di dalam kitab Taurat
dengan sebutan “At-Mu’ammah” (yang umum), yang mengumumkan pembacanya dengan
kebaikan dunia dan akhirat, menanggung segala bala baik dari kesusahan di dunia
mahu pun akhirat. Pembaca juga akan dilindungi dari setiap keburukan dan
kejahatan serta segala hajat dan kemahuan akan Allah kabulkan. Jika dibaca
dalam satu malam semata-mata mengharapkan keredaan Allah, nescaya Allah akan
mengampunkan dosanya. (Hadis riwayat Malik, Ibnu-Sunni dan Ibnu Hibban). Surah
Yaasin ni juga jika diamalkan, akan terselamatlah kita dari kehausan di
hari KIAMAT.
SURAH AD-DHUKHAN
Dibaca sekali pada malam
Jumaat agar kita terselamat dari huru hara di Padang Mahsyar.
SURAH AL-WAQI’AH
Menurut beberapa hadis
Rasulullah s.a.w., mereka yang mengamalkan membaca Surah Al-Waqi’ah pada
tiap-tiap malam, insya’Allah tidak akan merasai kepapaan. Mereka yang
membacanya sebagai wirid, insya’Allah akan beroleh kesenangan
selama-lamanya. Mereka yang membacanya sebanyak 14 kali setiap lepas
solat Asar, insya’Allah akan dikurniakan dengan rezeki yang banyak. Selepas
solat Isyak, ambillah segelas air lalu bacalah Surah Al-Fatihah sekali,
Ayatul Qursi sekali dan Surah Al-Waqi’ah ayat 35-38 sebanyak 7 kali. Tiup
dalam air dan minum. Dalam hati, niat untuk menjaga kecantikan diri dan
kebahagiaan rumahtangga kita. Makna Surah Al-Waqi’ah Ayat 35-38 ialah
: “Sesungguhnya, Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan
ciptaan istimewa. Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak
pernah disentuh), yang tetap mencintai jodohnya serta yang sebaya dengan
umurnya.
SURAH AL-KAUTHAR
Sesiapa yang mengamalkan
membaca surah ini sebanyak 1,000 kali, maka Allah s.w.t. akan menghasilkan
hajatnya termasuk rezeki dan kenaikan pangkat. Sesiapa yang membaca 1,000
kali juga selepas solat Isyak hingga dia tertidur, insya’Allah dia dapat
melihat Rasulullah s.a.w. dalam tidurnya.
SURAH AL-KAAFIRUN
Sesiapa yang membaca
Surah Al-Khaafiruun, maka bandingannya seperti membaca seperempat Al-Qur’an,
disamping terlepas dari syirik, terjauh dari godaan syaitan dan terlepas dari
peristiwa yang mengejutkan (Riwayat At-Tarmizi). Sebelum tidur, bacalah surah
ini agar kita mati dalam iman serta membersihkan kotoran dalam diri kita.
SURAH AL-MULK
Sebuah lagi Surah dari
Al-Qur’an iaitu Surah Al-Mulk mempunyai fadilat dan faedah yang amat besar bagi
sesiapa yang mengamalkan membacanya. Menurut beberapa hadis Rasulullah
s.a.w., mereka yang mengamalkan membaca akan surah ini, akan mendapat syafaat
dan keampunan dosa-dosanya. Mereka yang membacanya pada setiap malam,
insya’Allah, akan terselamat dari azab kubur.
SURAH AL-IKHLAS
Rasulullah s.a.w. pernah
bersabda kepada isteri kesayangan baginda, Siti Aisyah, antara mafhumnya : “Wahai
Aisyah isteri ku, sebelum kamu tidur, khatamlah dulu Al-Qur’an.” Siti
Aisyah lalu berkata, “Wahai suami ku, saya tidak mampu khatam Al-Qur’an
sebanyak 30 juzuk itu.” Apabila mendengar kata-kata Siti Aisyah tersebut,
Rasulullah s.a.w. sambil tersenyum lalu menjawab, “Barangsiapa yang membaca 3
kali sebelum tidur, seolah-olah ia telah khatam Al-Qur’an
keseluruhannya.”
Dari Rasulullah s.a.w. pernah
bersabda kepada Saidina Ali r.a., “Sesiapa hendak pergi musafir, kemudian
ketika dia hendak meninggalkan rumahnya, ia membaca surah Al-Ikhlas 11 kali,
maka Allah memelihara rumahnya sampai ia kembali.
Ibnu Said Al-Khanafi
menerangkan : “Surah ini dinamakan Surah Al-Ikhlas, ertinya bersih atau
lepas. Maka barang siapa yang membacanya dan mengamalkannya dengan hati
yang ikhlas, maka ia akan dilepaskan kesusahan duniawi, dimudahkan di dalam
gelombang sakratulmaut, dihindarkan dari kegelapan kubur dan kengerian hari
kiamat.”
SURAH
AL-FALAQ
Siti Aisyah menerangkan
: “Bahawa Rasulullah s.a.w. pada setiap malam apabila hendak tidur,
Baginda membaca Surah Al-Ikhlas, Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas lalu ditiupkan
pada kedua telapak tangan, kemudian disapukan keseluruh tubuh dan kepala.Barang
siapa terkena penyakit kerana perbuatan syaitan atau manusia, hendaklah membaca
Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas sebanyak 41 kali selama 3 hari, 5 hari atau 7
hari berturut-turut. Barang siapa yang takut akan godaan syaitan dan manusia,
takut dalam kegelapan malam atau takut dengan kejahatan manusia, bacalah Surah
Al-Falaq dan Surah An-Nas sebanyak 100 kali.
SURAH AN-NAS
Surah An-Nas adalah
surah yang terakhir (ke-114) dalam Al-Qur’an. Nama An-Nas diambil dari
kata An-Nas yang berulang kali disebut dalam surah ini yang bermaksud
manusia. Surah ini termasuk dalam golongan surah makkiyah. Isi
surah ini adalah bagi menganjurkan manusia memohon perlindungan kepada Allah
dari godaan syaitan baik yang berasal dari golongan manusia mahu pun
jin. Surah An-Nas ini juga adalah penerang hati.
No comments:
Post a Comment