Ilmu
Ladunni adalah pancaran nur
Allah kepada hati seseorang. Ia adalah ilmu yang dianugerah Allah kepada
hambanya yang bertakwa dan beramal dengan ilmu yang dipelajarinya
dari al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w.. Oleh kerana ia adalah pemberian
Allah, maka tidaklah perlu dipelajari, sebaliknya ia merupakan hasil
dari amalan dan taqarrub kita kepada Allah. Firman Allah;
وَاتَّقُواْ اللّهَ وَيُعَلِّمُكُمُ اللّهُ وَاللّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ
عَلِيمٌ
“Dan bertakwalah kepada Allah, nescaya Allah akan memberi ilmu kepada kamu. Allah adalah maha mengetahui tentang segala sesuatu”. (al-Baqarah, ayat 282). Ada riwayat dari Nabi s.a.w. menyebutkan;
من عمل بما علم ورثه الله علم ما لم يعلم
“Sesiapa beramal dengan ilmu yang ia tahu, nescaya Allah akan wariskan kepadanya ilmu tentang apa yang ia tidak tahu” (Riwayat Abu Nu’aim dalam al-Hilyah dari Anas r.a.)
Menurut Imam Ibnul Qayyim al-Jauziyah, ilmu ada dua jenis :
1. Ilmu Jali (ilmu yang nampak);
iaitu ilmu yang terhasil melalui penglihatan, pendengaran (yaitu mendengar
perkhabaran yang benar) dan akal.
2. Ilmu Khafi (ilmu yang tidak nampak); iaitu ilmu yang tumbuh dalam hati yang suci iaitu hati orang yang bersih dirinya kerana taat kepada Allah dan membesar atas rezeki yang halal.
2. Ilmu Khafi (ilmu yang tidak nampak); iaitu ilmu yang tumbuh dalam hati yang suci iaitu hati orang yang bersih dirinya kerana taat kepada Allah dan membesar atas rezeki yang halal.
Ilmu Ladunni akan membawa seseorang untuk
lebih mengetahui tentang Allah, rahsia diri, hakikat penciptaan dan jalan-jalan
taqarrub kepada Allah dan halangan-halangannya. Berkata Imam al-Munawi; ilmu
Ladunni ialah anugerah dari Allah yang dengannya hamba akan mengetahui
kehendak diri dan kehendak Allah, lalu ia meninggalkan kehendak dirinya untuk
melaksanakan kehendak Allah.
Sebahagian
ulamak berkata; Ilmu Ladunni ialah ilham dari Allah kepada seorang hamba untuk
lebih mengenali Allah, tipuan diri dan syaitan, tipu-daya dunia,
perkara-perkara yang merosakkan amal (seperti riya’, ujub dan takbur), latihan
jiwa dan asuhan terhadapnya, kesabaran berhadapan dengan qadha Allah,
mensyukuri nikmatnya, keyakinan terhadap janji Allah, tawakal kepadaNya dan
sanggup menghadapi kesakitan dari makhluk Allah. Bukan sahaja ilmu, malah
anugerah-anugerah yang lain juga akan dikurniakan Allah kepada hamba-hambaNya
yang bertakwa, antaranya dibukakan jalan penyelesaian bagi setiap masalah dan
dilapangkan pintu rezki. Firman Allah;
"Barang sesiapa yang bertakwa kepada
Allah, nescaya Dia akan membuka jalan keluar baginya (bagi setiap masalah yang
dihadapinya). Dan (Allah) akan memberinya rezeki dari arah yang tidak
disangka-sangkanya”. Barang siapa yang menyerahkan diri kepada Allah, maka
Allah akan mencukupkannya (memeliharanya) -- Surah 65 Ath-Thalaq; ayat 2 dan 3.
Yang utama bukanlah ilmu ladunni itu, tetapi
amalan dan ketakwaan kita kepada Allah. Dari amal dan takwa akan datang ilmu
ladunni. Jika seseorang itu tidak beramal dan tidak bertakwa, mustahil ia
akan mendapat ilmu dari Allah. Apa yang kita bimbangkan ialah seorang itu
merasakan ia mendapat ilmu ladunni, namun sebenarnya bukan ilmu ladunni, tepai
ilmu dari syaitan atau iblis yang menambahkan kesombongan diri dan perasaan
diri hebat. Biasanya orang soleh tidak akan memberitahu kepada orang lain
bahawa ia mendapat ilmu ladunni, namun tanda kewujudan ilmu itu pada dirinya
disedari oleh anak-anak muridnya atau oleh orang lain yang bergaul dengannya.
Adakalanya ia sendiri tidak
menyedari kewujudannya dan hanya disedari oleh orang lain. Halnya sama seperti
karamah para ulamak dan auliyah. Ramai para ulamak dan auliyah yang tidak
menyedari karamah yang ada pada mereka, hanya disedari oleh orang lain yang
bergaul dengan mereka. Sebaliknya ramai orang-orang fasik mendakwa memiliki
karamah, namun sebenarnya bukan karamah, akan tetapi sihir, istidraj atau
sebagainya yang datang dari iblis dan syaitan. Wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment