Wednesday 3 October 2012

Pencipta Bujal terus berkarya


Pencipta Bujal terus berkarya

DI KALANGAN pembaca yang pernah menatap komik Bujal pada tahun 80-an, anda mungkin pernah menatap watak kanak-kanak lelaki bermata bulat, berjerawat, berbaju belang dan berseluar pendek yang popular di kalangan kanak-kanak pada waktu itu.

Komik Bujal yang sarat dengan mesej berguna cukup laris dan ditatap kanak-kanak generasi itu.

Namun, tahukah anda siapa pelukis dan penciptanya? Dalam komik itu, pelukis terbabit dikenali dengan nama pena Nasah.

Bakat dan kredibiliti kartunis yang ada dalam diri Nasah membuatkan Bujal diterima ramai. Malah, sewaktu di sekolah, guru penulis pernah menjadikan Bujal sebagai contoh berikutan mesej yang disampaikannya.

Kini komik Bujal sudah berkubur. Namun, pelukisnya, Nasah atau Sharif Hasan, 58, masih lagi aktif melukis dan membuat lakaran.
Karyanya kini terpampang di ruangan Jawi, akhbar Harian Metro serta majalah Pendidik dan Cahaya terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Namanya mungkin tidak sepopular Datuk Lat atau kartunis generasi baru seperti Ujang, Gayour dan Aie. Bagaimanapun, nama Sharif sebaris dengan kartunis lama seperti Rejabhad, Halim Teh, Wahidi, Mishar dan Raja Hamzah. Sharif mempunyai sentuhan dan gaya tersendiri dalam menghasilkan kartun.

Kartun dan komik memang dekat dengan jiwanya ketika dia masih kanak-kanak lagi. Hasil dorongan gurunya, Yaacob Rais, dia bergiat cergas dalam bidang berkenaan seawal 1969.

Karya pertamanya tersiar dalam majalah Hiburan sebelum dia mendapat ruangan tetap, iaitu Renungan Hari Ini di akhbar Utusan Melayu dan Utusan Zaman.

Mulai 1973, Sharif bekerja dengan syarikat Suarasa yang menerbitkan majalah seperti Bujal, Anak Rusa Nani dan Rina. Dia kemudian menyertai syarikat penerbitan Raz Studio sebelum berpindah ke syarikat Graphic Comic pada 1995.

Selain bertugas di situ, Sharif berkarya untuk beberapa majalah lain seperti Gelihati, Kuntum, Mingguan Kanak-Kanak, Pelita Rakyat, Gema RTM dan Pemimpin dengan menggunakan pelbagai nama pena. Di samping majalah, karya Sharif tersiar di akhbar Berita Harian dan Utusan Malaysia. Komik Ima dan Nizam, Pak We Malang dan Gurau Senda mengangkat namanya.
Bukan itu saja, Sharif juga aktif sebagai penulis ruangan di beberapa majalah seperti Majalah Filem, Berita Filem, Mastika Filem, Seni, Hiburan, Utusan Filem dan Fesyen.

“Sebenarnya saya dah nak bersara sejak 1996 lagi sebab keadaan kesihatan tak mengizinkan. Tapi seorang rakan kemudian mempelawa saya untuk bekerja secara kontrak dengan Utusan Melayu. Tawaran itu sukar untuk saya tolak dan saya kembali bersemangat walaupun tak berapa sihat,” kata Sharif. Kini beliau dalam perancangan untuk mengumpul koleksi kartun Miau bertulisan Jawi yang disiarkan dalam Harian Metro dengan sasaran pembaca kanak-kanak.

Menurutnya, kanak-kanak mudah tertarik dengan watak kartun tanpa mengira apa bahasanya. Contohnya walaupun kartun itu disiarkan dalam bahasa Inggeris, Kantonis atau Jepun, mereka tetap menghayatinya dengan penuh imaginasi. Baginya, penghasilan buku bergambar dan komik Jawi dapat menarik kanak-kanak untuk meminati tulisan Jawi. Ini terbukti ketika majalah Bujal yang diterbitkan dengan konsep sebegitu pada tahun 70-an dan 80-an mencatat jualan yang tinggi berbanding majalah kanak-kanak lain waktu itu.

“Sekiranya komik dapat diterbitkan dalam tulisan Jawi berserta watak yang boleh mengkagumkan kanak-kanak, saya yakin ia boleh menjadi serampang dua mata untuk pendidikan moral dan jawi sekali gus,” kata Sharif.

Bermula pada tahun 90-an, majalah kartun semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat dan ia terbukti apabila jualan majalah seperti Gila-Gila, Ujang dan Gelihati begitu tinggi. Kerjaya kartunis juga semakin dipandang tinggi dan ramai kartunis yang hidup selesa.

Bagaimanapun, Sharif berasa penerimaan masyarakat terhadap majalah kartun tidak seperti dulu berikutan jualan kebanyakan majalah komik merosot, malah ada yang gulung tikar! “Ini mungkin kerana kemunculan banyak stesen televisyen yang menyiarkan kartun dan khidmat internet yang meluas. Tapi, saya juga melihat idea dan persembahan sesetengah kartunis baru kurang menarik. Mungkin ini juga antara faktornya,” katanya.

SUMBER  : http://pergh.com/forum/comic-and-cartoon-times/pelukis-bujal-terus-berkarya/

 

Komen: Jika benar komik merosot kenapa kartun Boboi Boy serta Upin Ipin mencatat untung dan sangat popular di kalangan kanak kanak Malaysia mahupun di Indonesia? Justeru pendidikan agama serta adab sopan, sahsiah diri dan teladan yang baik boleh diterapkan dalam jiwa kanak kanak melalui kartun berjiwa Malaysia!!!

MAJALAH BUJAL pelukis NASAH
Terbitan Raz Studio
Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment