Allah SWT telah mengurniakan nikmat dan rahmat dengan mengutuskan
Rasul-Nya dan menurunkan kitab-Nya al-Quran yang tidak ada sebarang keraguan
dalam kandungan dari dahulu sehingga kini. Kitab wahyu yang diturunkan oleh
Allah SWT kepada Rasul-Nya ini dipenuhi mukjizat dan keagongan yang tiada tolak
bandingnya dengan kitab-kitab yang lain. Bagi mengekalkannya al-Quran dalam
kehidupan kita ianya perlu dijaga dengan sentiasa membaca dan menghafal serta
memahami isi kandungannya agar berada di dalam jiwa dan hati setiap muslim.
Firman Allah SWT dalam surah al-Hijr ayat 9:
Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur’an, dan Kamilah
yang memelihara dan menjaganya.”
Rasulullah SAW menggesa umatnya agar sentiasa membaca al-Quran dan
mendalami dari segi bacaannya, kerana itulah kita dapati para sahabat RA
seperti Uthman, Zaid bin Tsabit, Ibnu Mas’ud, Ubay bin ka’ab dan lain-lain
lagi, mereka ini sentiasa membaca al-Quran dan mengkhatamkannya setiap hari
Jumaat. Begitu juga amalan tradisi orang-orang tua kita dahulu juga mewajibkan
pendidikan al-Quran kepada anak-anak. Anak-anak tidak di
benarkan keluar rumah selagi tidak membaca al-Quran dan mereka mengamalkan
pembacaan al-Quran setiap malam selepas waktu maghrib secara beramai-ramai.
Walaupun perkara ini tiada dalam syariat, tetapi membuktikan mereka sangat
mengambil berat tentang pembacaan dan pendidikan al-Quran.
Banyak hadith-hadith yang menjelaskan kedudukan mereka yang sentiasa
membaca al-Quran begitu tinggi dan mulia di sisi Allah SWT seperti dalam satu
hadith Qudsi di mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesiapa yang sentiasa
sibuk dengan al-Quran dan zikir mengingatiku daripada meminta-minta kepadaku,
maka aku akan anugerahkan perkara yang lebih baik daripada Aku anugerahkan
kepada mereka yang sentiasa memohon kepadaku itu. Dan kelebihan kalam Allah di
atas segala kalam yang lain seperti lebihnya Allah di atas makluk-Nya. Dalam
satu hadith lain yang bermaksud: Apabila seseorang dapat mengkhatamkan bacaan
al-Quran satu kali, 60 ribu malaikat memohon keampunan dari Allah SWT untuknya.
Mereka yang menjadikan al-Quran sebagai bacaan utama setiap masa akan
diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT. Setiap huruf yang dibaca akan dikira
sebagai sepuluh pahala. Sabda Rasulullah SAW :
Bermaksud : ” Sesiapa yang membaca satu huruf dari al-Quran, maka
bagi-nya diberi sepuluh pahala dan ditambah sepuluh lagi kewajiban seumpamanya,
tidak aku katakan( alif, lam, mim ) itu satu huruf, akan tatapi alif satu huruf
dan lam satu huruf dan mim satu huruf “(Riwayat Tirmizi)
Mereka juga akan dinaikkan darjatnya di sisi Allah SWT sebagaimana yang
dikatakan oleh Amr bin Ash: Barangsiapa membaca al-Quran maka mereka akan di
naikkan ke darjat di kanan dan di kiri para nabi, melainkan tidak diturunkan
wahyu kepada mereka sahaja. Muka pembaca al-Quran sentiasa berseri-seri,
sentiasa dalam keadaan tenang dan kehidupannya dirahmati dan dimurahkan rezeki
oleh Allah SWT. Ketika berada di alam kubur diluaskan kedudukannya serta
mendapat syafaat di akhirat nanti. Hadith Rasulullah SAW:
Bermaksud : ” Bacalah kamu akan al-Quran, sesungguhnya (al-Quran) akan
datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada pembaca-pembacanya “.(Riwayat
Muslim)
Rasulullah SAW sentiasa mengutamakan para sahabat yang membaca al-Quran dan
yang menghafal dibandingkan dengan sahabat yang lain. Ini dibuktikan dengan
tindakan Rasulullah SAW apabila menghantar sesuatu utusan, baginda akan memilih
darpada kalangan sahabat yang banyak menguasai al-Quran sebagai pemimpin.
Begitu juga ketika berhimpunnya para syahid yang terkorban untuk dikebumikan,
Rasulullah SAW sendiri menguruskannya sehingga ke liang lahad dengan mendahului
para syahid yang hafaz di kalangan sahabatnya.
Sebagai umat yang beriman maka sewajarnya al-Quran dibaca, difahami dan
dijadikan panduan dan sumber rujukan yang utama dalam apa juga kegiatan hidup
samada dari sudut akidah, syariat dan akhlak, khususnya dalam menangani
pelbagai permasalahan, cabaran semasa untuk mencapai kehidupan dan kebahagiaan
hidup di dunia dan akhirat.
Namun persoalannya pada hari ini terdapat segelintir umat Islam yang
lemah iman, goyah pegangan akidah dan akhlaknya, menjadi kaku bibir dan kelu
lidahnya untuk menyebut ayat-ayat Allah SWT dan keras hati apabila terdengar
ayat al-Quran. Mereka lebih gemar mengalunkan dan mendengar nyanyian lagu-lagu
yang melalaikan berbanding ayat al-Quran. Tidak kurang pula ada dikalangan kita
yang hanya berbangga dengan menggantung ayat-ayat al-Quran yang mahal-mahal
sebagai hiasan. Walhal Islam tidak menyuruh sedemikian.
Justeru itu, mimbar menyeru marilah sama-sama kita menjadikan budaya
membaca al-Quran sebagai gaya hidup. Kita mesti yakin bahawa al-Quran sahajalah
yang mampu menjadi ubat dan penawar kepada segala jenis penyakit samada rohani
atau jasmani yang sedang melanda masyarakat masa kini. Janganlah kita hanya
membaca al-Quran pada masa-masa tertentu sahaja seperti ketika dalam kesusahan,
ketika sakit, ketika menghadapi saat kematian atau pada hari tertentu sahaja.
Ibu-bapa perlulah memprogramkan penghayatan al-Quran dalam keluarga terutama kepada anak-anak dengan
memperuntukkan masa seperti selepas solat maghrib sebagai waktu membaca,
mempelajari dan mentadabbur al-Quran. Mengambil usaha dengan menghantar
anak-anak ke kelas pengajian al-Quran samada di surau dan masjid atau di kelas
yang telah disediakan. Di samping itu mempelajari al-Quran juga boleh dilakukan
dengan cara mendengar bacaan di radio, kaset dan di media-media elektronik dan
sebagainya.
Surah al-Israa’ ayat 45: Dan apabila kamu membaca Al-Qur’an, Kami
jadikan antaramu dan orang yang tidak beriman kepada hari akhirat itu, suatu
dinding yang tertutup.
No comments:
Post a Comment