Satu ketika dahulu, ramai ragu-ragu
tentang kewujudan kaum A’ad seperti yang termaktub dalam al-Quran. Ketika ayat
mengenai kehancuran kaum A’ad diturunkan, ramai terkejut dengan kedashyatan
azab Allah terhadap kaum nabi Hud as tersebut. Namun, rata-rata umat Islam
ketika itu langsung tidak tahu-menahu mengenai kaum yang disebut Allah swt
sebagai kaum A’ad tersebut.
Begitu juga apa yang dialami oleh
kaum Yahudi yang menetap bersama-sama umat Islam di Madinah. Mereka mendengar
desas-desus turunnya ayat tentang kaum A’ad tersebut. Dalam kitab suci mereka
iaitu Taurat tidak langsung menceritakan kemusnahan kaum A’ad sedangkan
kaum-kaum lain seperti kaum Lut as, kaum Nuh as dan sebagainya diceritakan
dengan terperinci dalam kitab mereka. Berikutan itu, kaum Yahudi terus
menyebarkan fitnah bahawa kaum A’ad sebenarnya tidak pernah wujud dan apa yang
diberitakan dalam al-Quranul karim hanyalah omongan kosong yang langsung tidak
berfakta.
Ternyata orang
Yahudi silap
Tahun berganti tahun, abad berganti
abad. Ramai orientalis mula datang ke tanah arab untuk mengkaji dan menyelidik
kitab suci al-Quran, syair-syair dan cerita penglipur lara popular di tanah
arab. Antara orientalis paling popular yang pernah datang ke tanah arab adalah
T. E. Lawrence atau lebih dikenali dengan Lawrence of Arabia.
Lawrence of
Arabia
Kepada yang belum mengenali siapakah
Lawrence of Arabia, beliau adalah orientalis yang bertanggungjawab menghasut
pemimpin tanah arab untuk memberontak kepada kerajaan Turki Othmaniyyah sekitar
tahun 1916-1918. Disebabkan hasutan dan dokongan daripada Lawrence of Arabia
tersebut, tanah arab akhirnya bebas daripada menjadi jajahan Turki Othmaniyyah
dan King Saud diangkat menjadi pemimpin besar tanah arab. Kerajaan baru yang
ditubuhkan dikenali sebagai Arab Saudi. Dan kerajaan Arab Saudi kekal
memerintah tanah arab sehingga ke hari ini. Lawrence of Arabia yang juga
seorang Leftenan Kolonel tentera Diraja Britain meninggal dunia pada 19 Mei
1935 akibat kemalangan jalan raya. Ketika itu beliau berumur 45 tahun.
‘Jasa’
Lawrence of Arabia
Miskipun Lawrence of Arabia boleh
dikatakan musuh di dalam selimut kepada umat Islam, namun jasanya kepada
penemuan kota Iram yang dikatakan sebagai kota kaum A’ad tidak boleh disangkal.
Beliau adalah insan pertama daripada Eropah yang sangat berminat dengan‘Lost
City’ Iram. Beliau yang hidup dengan cara orang Badwi dan kemampuannya
berkomunikasi dalam bahasa Arab dengan fasih membuatkan cerita mengenai
kemusnahan tamadun kaum A’ad mudah sampai ke telinganya.
Kerana sangat berminat dengan kisah
kaum A’ad dan kotanya yang memiliki tiang-tiang yang besar, Lawrence of Arabia
telah mengelarnya dengan gelaran ‘Atlantis of the Sands’.Seperti kota Atlantis,
kota Iram juga kelihatan mustahil untuk ditemui. Lawrence of Arabia juga tidak
yakin apakah kota tersebut benar-benar wujud. Baginya, ia sekadar cerita dogeng
yang terkandung dalam al-Quran.
Atlantis of
the Sands
Sebenarnya, apa yang ditulis oleh
Lawrence of Arabia mengenai kota Iram yang digelar beliau sebagai ‘the Atlantis
of the Sands’ telah menarik minat beberapa ahli arkeologi daripada Eropah
kemudian harinya. Mereka adalah Nicholas Clapp, George Hedges, Dr. Juris Zarins
dan Ranulph Fiennes.
Pada akhir tahun 80-an dan awal
90-an, keempat-empat individu ini telah berusaha untuk mencari satu tamadun
yang musnah sepertimana yang disifatkan dalam al-Quran. Rujukan utama keempat-empat
mereka adalah berdasarkan al-Quranul karim dan cerita-cerita lisan daripada
masyarakat Badwi.
Dr. Zarins yang bertindak sebagai
ketua arkeologi dalam pencarian tersebut telah bersama-sama Nicholas Clapp dan
George Hedges meminta NASA merakamkan gambar sekitar tempat yang dimaksudkan
mempunyai potensi untuk dikaitkan dengan kota purba Iram yang telah musnah.
Gambar tersebut telah dirakamkan menggunakan satelit NASA,SPOT(Satellite Pour
I’Observation de la Terre). Rakaman tersebut mengejutkan mereka apabila ia
jelas memaparkan laluan unta dan sebuah runtuhan kota purba yang kelihatan
mengelilingi sebuah ‘runtuhan’ oasis. Namun laluan perdagangan dan
runtuhan kota purba tersebut tidak mampu dilihat jelas pada mata kasar. Imej
tersebut telah dirakamkan di Rub’al Khali, Oman yang terletak di selatan
Semenanjung Arab.
Pada 1992, eskavasi telah dimulakan.
Daripada hasil penemuan arkeologi, mereka bersepakat bahawa ia adalah kota Iram
yang musnah seperti yang dimaksudkan dalam al-Quran berdasarkan pentarikhan
karbon menyatakan ia dibina sekitar 6,000 tahun sebelum masihi. Menurut mereka
lagi, kota yang ditemui itu adalah salah satu kota yang dimiliki oleh kaum A’ad
dan banyak lagi yang tenggelam dalam ‘lautan’ pasir.
Keajaiban
Al-Quran
Terdapat beberapa persamaan hasil
penemuan arkeologi dengan ayat-ayat Allah swt yang menceritakan kisah kaum A’ad
dan nabi Hud as. Antaranya adalah berkenaan dengan pembinaan tiang-tiang yang
sangat tinggi yang mana tidak pernah dibina oleh sesiapa pun sebelumnya.
1. Tiang-tiang
tinggi
Dalam al-Quran ada menyebut tentang
kota Iram yang disifatkan mempunyai tiang-tiang yang tinggi,
6. Apakah kamu tidak memperhatikan
bagaimana Tuhanmu berbuat terhadap kaum A’ad?
7. (iaitu) penduduk Iram yang
mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi
8. yang belum pernah dibangunkan
(suatu kota) seperti itu, di negeri-negeri lain,
(Surah al-Fajr
ayat 6-8)
Firman Allah swt telah dapat
dibuktikan melalui hasil penemuan arkeologi pada 1992. Clapp yakin bahawa yang
kota purba yang ditemui adalah Iram berdasarkan kepada tapak-tapak tiang yang
berbentuk segiempat sama. Dipercayai bahawa tiang-tiang yang dibina adalah 7
batang kesemuanya.
2. Membina
benteng-benteng
Kaum A’ad juga diriwayatkan membina
benteng-benteng. Ia diceritakan Allah dalam surah as-Syu’araa’ ayat 128
sehingga 130.
128. Apakah kamu mendirikan pada
tiap-tiap tanah tinggi bangunan untuk bermain-main.
129. dan kamu membuat
benteng-benteng dengan maksud supaya kamu kekal (di dunia)?
130. Dan apabila kamu menyeksa, maka
kamu menyeksa sebagai orang- orang kejam dan bengis.
(Surah
as-Syu’araa’ ayat 128-130)
Sepertimana perihal tiang-tiang yang tinggi yang dibina oleh kaum A’ad,
mereka juga turut membina benteng yang dianggarkan mempunyai tinggi lebih
daripada 2 meter. Jika mengikut rekod arkeologi, tiada tamadun sekitar 6,000 BC
telah membina tembok atau benteng seperti yang dibina oleh kaum A’ad. Ia
bertepatan dengan apa yang Allah swt bicarakan dalam Surah al-Fajr ayat 8.
3. Terdapat
kebun-kebun dan mata air
133. Dia telah menganugerahkan
kepadamu binatang-binatang ternak, dan anak-anak,
134. dan kebun-kebun dan mata air,
(Surah
as-Syu’araa’ ayat 133-134)
Mengenai perihal kebun-kebun dan
mata air, ia dapat dibukti melalui penemuan oasis di tengah-tengah kota Iram.
Penemuan oasis merupakan titik pertama sebelum penemuan Kota purba Iram. Mata
air merupakan sumber utama kepada kemajuan kota Iram satu ketika dahulu. Kaum
A’ad dikatakan mencari nafkah dengan mengembala binatang ternak dan juga
berdagang. Oasis milik kaum A’ad masih lagi boleh dilihat sehingga ke hari ini.
4. Dimusnahkan
oleh angin kencang
41. Dan juga pada (kisah) Aad ketika
Kami kirimkan kepada mereka angin yang membinasakan,
42. angin itu tidak membiarkan
satupun yang dilaluinya, melainkan dijadikannya seperti serbuk.
(Surah
adz-Dzaariyaat ayat 41-42)
Dalam ayat Allah dalam surah
adz-Dzaariyaat ini, angin kencang telah membinasa kaum A’ad yang sombong. Angin
tersebut telah membinasakan seluruh masyarakat A’ad yang kufur terhadap Allah
swt. Hasil arkeologi membuktikan bahawa runtuhan kota Iram bagaikan serbuk dan
ia bertepatan benar dengan apa yang dimaksudkan Allah swt dalam ayat 42 surah
adz-Dzaariyaat.
Penutup
Bagi ahli arkeologi, miskipun
runtuhan tersebut sangat dashyat sehingga sukar untuk dilihat dengan mata
kasar, ia bagaimanapun masih lagi mempunyai nilai yang sangat bermakna kerana
dalam sudut yang lebih besar ia membukti al-Quran merupakan kalam Allah yang
penuh mukjizat.
Kota yang dikatakan mustahil untuk
ditemui ini akhir telah ditemui oleh seorang ahli arkeologi bukan muslim dan
sepertimana yang diberitahu sebelum ini, rujukan utama mereka adalah al-Quran. Pembaca
semua, ingatlah ayat Allah azza wa jalla ini, Sesungguhnya pada kisah-kisah
mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al Quran
itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab)
yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk
dan rahmat
bagi kaum yang beriman.
(Surah Yusuf
ayat 111)
No comments:
Post a Comment