Kaabah yakni rumah Allah adalah kiblat di mana seluruh umat Islam
menghadapnya ketika menunaikan solat. Diriwayatkan bahawa Allah telah
menjadikan tapak Kaabah itu disokong dengan empat tiang daripada air 2000 tahun
sebelum Dia menciptakan dunia ini dan Dia telah membentangkan bumi dari bawah
Kaabah. Tiang Kaabah itu panjangnya sehingga lapisan bumi yang ke tujuh. Di setiap tujuh langit ada rumah Allah tempat para malaikat
beribadat padaNya dan pada langit ke tujuh nama rumah Allah itu adalah Baitul
Makmur. Rasulullah bersabda, “Baitul Makmur adalah masjid yang berada di langit
dan ia betul-betul di atas Kaabah. Seandainya ia jatuh maka ia akan menghempap
Kaabah”.
Sebelum Baitul Makmur dicipta, para malaikat tawaf mengelilingi
Arasy pada masa yang sangat lama. Allah memandang mereka kemudian menurunkan
rahmat kepada mereka. Allah membina sebuah rumah di bawah Arasy yang diberi
nama Baitul Makmur. Allah memerintahkan para Malaikat supaya tawaf di Baitul
Makmur dan tinggalkan Arasy. Para malaikat telah melakukan tawaf di Baitul
Makmur sehingga jumlah yang memasukinya siang dan malam seramai 70,000
malaikat. Mereka tidak kembali lagi buat selama-lama. Kemudian Allah
mengutuskan para malaikat turun ke bumi dan berfirman kepada mereka, “Binalah
sebuah rumah untukKu di bumi sepertinya”. Allah memerintah seluruh makhlukNya
di bumi supaya tawaf mengelilingi Kaabah sebagaimana penghuni langit tawaf
mengelilingi Baitul Makmur. Diriwayatkan bahawa Allah telah mengutuskan Jibril
kepada Nabi Adam serta Hawa supaya membina satu rumah untukNya. Jibril telah
menggariskan (rangka) kepada keduanya lalu Nabi Adam menggali tanah manakala
Hawa mengangkutnya sehinggalah air menyahut serta menyeru dari bawah beliau
meminta agar berhenti menggali dengan kata-kata, “Cukuplah wahai Adam!” Setelah
Nabi Adam wafat, anak-anaknya telah membina Kaabah dengan menggunakan tanah dan
batu. Diriwayatkan bahawa orang yang membinanya ialah anak Nabi Adam iaitu Nabi
Syith. Mereka sentiasa mendiami dan memakmurkan Baitullah dan begitulah juga
dengan orang-orang yang selepas mereka sehinggalah tiba zaman Nabi Nuh, Kaabah
telah runtuh dan kawasan tersebut ditenggelami air serta tidak dapat dikesani. Kemudian
Allah mengutuskan Nabi Ibrahim untuk membina kembali Kaabah. Mematuhi perintah
Allah itu, Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail membina semula Kaabah di atas
timbunan batu dan tanah liat daripada bekas binaan Kaabah yang pernah dibuat
oleh Syith yang runtuh akibat banjir dan taufan pada zaman Nabi Nuh itu.
Pembinaan Kaabah oleh Nabi Ibrahim daripada batu dari tujuh bukit di sekitar
kota Mekah. Binaan Kaabah kali ini mempunyai dua sudut utama iaitu sudut Rukun
Al-Hajarul Aswad dan Rukun Yamani dan satu sudut berbentuk melengkung pada
bahagian yang bertentangan dengan kedua-dua sudut.
Ciri-ciri binaan
yang telah dibina oleh Nabi Ibrahim:
- Tingginya 9 hasta.
- Panjang di paras bumi dari Hajarul Aswad hingga ke penjuru sebelah Syam 32 hasta.
- Lebar di sebelah bahagian saluran air bermula dari penjuru Syam hingga ke penjuru sebelah barat 22 hasta.
- Panjang di paras bumi bermula dari penjuru sebelah barat hingga ke penjuru sebelah Yaman 31 hasta.
- Lebar di paras bumi bermula dari penjuru sebelah Yaman hingga ke Hajarul Aswad 20 hasta.
Selepas pembinaan Kaabah oleh Nabi Ibrahim, ia terus berdiri megah di bumi Allah dan tidak akan runtuh sehingga hari Kiamat. Namun usaha membaik pulih dan menyelenggarakan Kaabah tetap diteruskan sehingga sekarang. Berikut adalah rumusan sejarah pembinaan Kaabah.
- Binaan pertama: Malaikat
- Binaan kedua: Nabi Adam
- Binaan ketiga: Nabi Syith
- Binaan keempat: Nabi Ibrahim
- Binaan kelima: Kaum Amaliqah
- Binaan keenam: Kaum Jurhum
- Binaan ketujuh: Qusai bin Kilab (Abad keempat Masihi)
- Binaan kelapan: Abdul Mutalib
- Binaan kesembilan: Kaum Quraisy (Tahun 605 Masihi ketika Rasulullah berusia 35 tahun)
- Binaan ke-10: Abdullah ibnu Zubair (Tahun 64 hijrah)
- Binaan ke-11: Hajjaj bin Yusuf al-Thaqafi (Tahun 74 hijrah/693 Masihi)
- Binaan ke-12: Sultan Murad Khan (Tahun 1040 hijrah/1630 masihi)
Baca Seterusnya:
No comments:
Post a Comment