Wednesday 13 June 2012

TAQWA KEPADA ALLAH

PERIHAL TAQWA KEPADA ALLAH
- Syarah SYEIKH ‘ABDUL QADIR JAILANI RHT.
(Petikan Al-Fath-ur Rabbani Wal-Faidh-ur Rahmani 320-327. Sy Abdul Qadir Jailani rht. Terjemahan oleh Syed Ahmad Semait; PN, 2007). Telah berkata Saidi Syeikh Muhyiddin Abu Muhammad Abdul Qadir Jailani radhi-Allahu-anhu di Madrasahnya pada pagi 19 Rajab tahun 545 H.
Taqwa itu rangkaian semua kebaikan
Suatu riwayat daripada Nabi s.a.w. bahawasanya beliau berkata:
“Barangsiapa yang mahu tergolong orang yang dimuliakan diantara manusia, maka hendaklah dia bertaqwa kepada Allah. Barangsiapa yang mahu tergolong orang yang terkuat di antara manusia, maka hendaklah dia bertawakkal kepada Allah. Barangsiapa yang mahu tergolong orang yang terkaya di antara manusia, maka hendaklah dia meyakini apa yang ada di tangan Tuhan itu lebih teguh daripada apa yang ada di tangannya sendiri.” Riwayat Al-Hakim.
Ya, barangsiapa yang inginkan kemuliaan dunia dan akhirat, maka hendaklah dia bertaqwa kepada Allah azzawajalla, kerana Allah telah berfirman,
(Maksud) “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah adalah yang paling bertaqwa di antara kamu!”  AlHujurat 13.
Kemuliaan itu berhasil dengan bertaqwa kepada Allah Ta’ala sedang kehinaan akan berhasil dengan membuat maksiat terhadapNya. Maka barangsiapa yang mahukan kekuatan di dalam agama Allah azzawajalla, hendaklah dia bertawakkal kepada Allah azzawajalla. Sebab tawakkal itu akan membetulkan hati, meneguhkannya, mendidiknya, menunjukinya dan menyatakan segala keajaibannya. Jangan engkau bergantung kepada wang ringgitmu atau sebab-musababnya, kerana yang demikian itu akan melemahkanmu dan melesukanmu. Akan tetapi bergantung kepada Allah azzawajalla, kerana yang demikian itu akan menguatkanmu dan membantumu, melembutkan perasaanmu dan membukakan bagimu pintu-pintu rezeki yang engkau tidak dugakan serta meneguhkan hatimu. Jangan selalu menghitung kedatangan dan kepergian dunia itu apabila engkau melihat orang lain mengejarnya dan membelakangkannya, dan ketika itulah engkau akan menjadi manusia yang teguh pendiriannya. Jika engkau terus menggantungkan diri kepada hartamu, pangkatmu, keluargamu dan sebab-musabab hidupmu, kelak engkau akan terdedah kepada kutukan Allah azzawajalla, kemudian semua yang menggantungkan diri kepadanya akan terhapus, kerana Allah Ta’ala itu sangat cemburu bila melihat hatimu terpaut kepada sesuatu yang selain daripada Dia.
Siapa yang mencintai kekayaan di dunia dan akhirat, hendaklah dia bertaqwa kepada Allah azzawajalla, tidak kepada selain Dia. Hendaklah dia berdiri di pintu Allah sahaja dan merasa malu terhadap Allah jika dia sampai mahu mendatangi pintu yang lain, dan seharusnya dia menutupi matanya dari memandang kepada selain Allah, dan yang aku maksudkan ialah mata hati, bukan mata kulit kasar hati itu.
Bagaimana engkau boleh meyakini kekalnya apa yang ada ditanganmu itu sedang dia sebentar lagi akan hilang lenyap. Engkau tidak menyakini apa yang ada di sisi Allah, padahal apa yang ada di sisi Allah itu tetap tidak akan hilang lenyap. Memanglah kebodohanmu dari mengenali Allah itulah yang menjadikanmu meyakini kepada selain dari Allah, padahal keyakinanmu kepada Allah itulah merupakan kekayaan yang sebenarnya, manakala keyakinanmu kepada selain Allah itu hanyalah kefakiran yang sebenarnya.
Wahai orang yang membelakangi taqwa, ingatlah bahawa engkau telah terharam dari kemuliaan dunia dan akhirat! Wahai orang yang menggantungkan harapan kepada makhluk dan sebab-musabab hidup, ingatlah engkau telah terharam kekuatan dan kemegahan dengan Allah azzawajalla dunia dan akhirat. Wahai orang yang bergantung kepada apa yang ada pada dirinya sendiri, ingatlah engkau telah terharam kekayaan dengan Allah azzawajalla dunia dan akhirat.

Bersabar dalam taqwamu kepada Allah
                   Wahai Salik! Jika engkau hendak menjadi seorang yang bertaqwa, meng-gantungkan harapan kepada Allah, meyakini apa yang ada di sisiNya, hendaklah engkau bersabar, kerana sabar itu pokok segala kebaikan. Jika niatmu benar dalam kesabaran kerana ridha dengan Allah azzawajalla, maka balasanmu nanti ialah Allah akan meletakkan di dalam hatimu kecintaan dan pendekatan diri kepadaNya dunia dan akhirat.
                Sabar itu hendaklah engkau menerima Qadhak dan Qadar Allah pada semua ketentuanNya yang terdahulu di dalam ilmuNya di azal, yang tiada seorang pun dari makhluk yang dapat memadamnya. Hal ini hanya boleh berlaku pada seseorang Mukmin yang yakin, lalu dia bersabar menanggung apa yang ditakdirkan Tuhan ke atas dirinya dengan penuh ridha bukan dengan secara paksa. Ya, sesungguhnya sabar itu pada permulaannya ditanggung secara terpaksa, tetapi sesudah itu dengan ridha dan rela.
                Bagaimana engkau mengaku beriman, tetapi engkau terus tidak bersabar. Bagaimana engkau mengaku kenal dan makrifat, padahal engkau tidak pernah ridha dan rela. Semua ini tidak akan berlaku dengan hanya dakwaan dan pengakuan lisan sahaja. Tidak ada omong kosong dalam hal ini melainkan sesudah engkau mendatangi pintu Allah dan berbaring di situ sedang engkau bersabar atas injak-injakan ketentuan takdir Allah dengan kaki-kaki mudharatnya atau manfaatnya. Ketentuan itu akan menginjak jasad hatimu, bukan jasad tubuhmu, sedang engkau tetap di tempatmu tidak bergerak-gerak seolah-olahnya engkau seperti orang mabuk candu, seolah-olahnya engkau jasad tanpa roh. Perkara ini memerlukan ketenangan tanpa bergerak, terus menunduk tanpa ingat yang lain serta ghaib dari manusia tanpa hadir dengan mereka dari segi hati dan rahsia, batin dan makna.
                Alangkah banyak apa yang sudah aku terangkan, akan tetapi kamu tidak pernah mahu mengikutnya. Alangkah banyak apa yang sudah aku dedahkan dengan panjang lebar dan aku syarahkan, akan tetapi kamu tidak mahu memahamkannya. Banyak pula apa yang sudah aku berikan, kenapa kamu tidak mengambilnya. Banyak juga apa yang aku nasihatkan, manun kamu memang tidak mahu menerima nasihatku! Alangkah kerasnya hati kamu, dan bodohnya tabiat kamu tentang Allah azzawajalla! Sebab jika kamu mengenali Allah dan percaya akan menemui Allah, lalu kamu ingat pula akan maut dan apa yang akan berlaku sesudah maut itu nanti, tentulah kamu tidak akan berlaku seperti ini. Tidakkah kamu pandang kematian ayah-bunda kamu, datuk nenek kamu dan kaum kerabat kamu? Tidakkah kamu lihat kematian raja-raja dan pembesar-pembesar kamu?! Kenapa kamu tidak ambil pelajaran dari semua itu untuk kamu mencegah diri kamu daripada mengejar dunia dan keinginan hidup kekal di dalam dunia ini? Sudahkah kamu ubah sikap hati kamu dan menukarnya dengan sikap yang lebih baik, lalu kamu keluarkan ingatan manusia dari dalam hati itu?! Allah telah berfirman,
(Maksudnya:) “Sesungguhnya Allah tiada akan mengubah sesuatu kaum sehingga mereka sendiri yang mengubah diri mereka.” Ar-Ra’ad 11.
                Betapa banyak kamu bicara tetapi tanpa ada amalnya. Betapa banyak kamu beramal tetapi tanpa ada ikhlasnya. Pakailah akal kamu, jangan sampai kamu kurang ajar dihadapan Allah azzawajalla. Cuba kamu saling bantu-membantu dalam mencari kebenaran, kemudian kembali kepada Tuhan dan tumpukan fikiran kamu kepadaNya. Apa yang kamu lakukan sekarang ini, semuanya tidak akan mendatangkan manfaat apa pun nanti di akhirat. Kenapa kamu bakhil kepada diri kamu, kerana kalau kamu memang mahu bermurah hati kepada diri kamu, nescaya kamu akan membuat sesuatu yang menghasilkan kemanfaatan bagi diri kamu nanti di akhirat. Kamu sibuk bekerja dengan apa yang akibatnya akan hilang-lenyap, sehingga kamu tertinggal hendak mengerjakan dengan apa yang kekal abadi tidak akan hilang lenyap.
                Jangan selalu sibuk mengumpul harta dunia, nikah-kahwin dan memperbanyakkan anak-pinak. Ingat sekejap lagi semua itu akan terhalang di antara kamu dengan semua yang kamu kumpulkan itu. Jangan terlalu sibuk dengan mengejar dunia dan membesar diri di hadapan makhluk, kerana semua itu tidak akan menolong kamu di hadapan Allah Ta’ala apa pun.

Sucikan hatimu dari syirik
                Hatimu najis penuh dengan syirik, penuh dengan syak dan waham terhadap Allah azzawajalla, engkau tertuduh di sisiNya, terdedah oleh bahaya dalam segala urusanmu. Apabila Allah mengetahui semua itu apa padamu, nescaya Dia akan membencimu, dan meletakkan kebencian itu pula didalam hati sekelian hamba-hambaNya yang solih.
                Ada setengah orang solih, muga-muga Allah merahmati mereka, tiada keluar dari rumahnya melainkan dengan menutup mata dengan kain pada kedua belah matanya. Dia berjalan dengan di pimpin oleh anaknya, maka ramailah orang yang membantahnya. Maka dia menjawab: Aku tidak mahu melihat orang yang kufur kepada Allah azzawajalla. Pada suatu hari dia terpaksa keluar tanpa menutup matanya, maka dia lihatlah keadaan orang yang ada disekelilingnya, lalu dia pun terjatuh pingsan tidak sedarkan diri. Lihat betapa kuat cemburu orang ini terhadap Allah azzawajalla.
                Bagaimana manusia itu sanggup menyembah selain Allah dan mensyirikkanNya dengan yang lain?! Dia mengecap berbagai nikmat daripada Allah, lalu dia menkufuriNya dengan yang lain?! Memang kamu sekelian tiada merasakan semua itu. Kamu bermakan-makan dengan orang-orang yang kufurkan nikmat Allah, dudu-duduk bersama-sama dengan mereka, sebab di dalam hati kamu tidak ada iman dan cemburu terhadap Allah azzawajalla. Hendaklah kamu melazimkan diri kamu dengan taubat dan istighfar, malu terhadap Allah. Tanggalkan pakaian buruk itu dari tubuh kamu, lalu datang berlari kepada Allah. Tinggalkan semua yang haram dan yang syubhat daripada dunia, kemudian lemparkan semua yang dibolehkan yang ada kaitannya dengan hawa nafsu dan syahwat, kerana jika kamu sibuk dengan melayan hawa nafsu dan syahwat kamu, kelak dia akan memalingkan kamu daripada Allah azzawajalla. Lihat apa kata Nabiy s.a.w.:
“Dunia itu adalah penjara orang Mukmin.” Riwayat Muslim
                Bagaimana orang yang di dalam penjara itu boleh bergembira?! Tentu dia tidak boleh bergembira, akan tetapi di-mukanya sahaja kelihatan gembira, namun di hati penuh dengan kesedihan. Gembira pada zahir sahaja, sedang bencana mengiris-giris batinnya dan di khalwatnya serta maknawinya. Luka-lukanya itulah maksiat di balik pakaian-nya, dia menutup luka-luka itu dengan kamis senyumannya. Sebab itulah Allah Ta’ala memujinya di hadapan para Malaikat, ditunjuk kepadanya dengan jejari, yakni semua orang yang bersifat demikian adalah gagah-berani di dalam kedaulatan agama Allah Ta’ala dan rahsianya, selama dia terus bersabar dengan Allah dan menelan kepahitan takdir yang ditentukan Allah, sehinggalah Allah mencintainya. Allah telah berfirman:
(Maksud:) “Dan Allah mencintai orang-orang yang sabar.”  Aali Imran 146.
                Hanya sanya Allah menimpakan bala ke atasmu kerana Dia mencintaimu, dan setiap engkau menurut perintahNya dan berhenti dari laranganNya, setiap itulah cintaNya akan bertambah kepadamu. Dan setiap engkau bersabar menanggung balaNya, setiap itulah engkau akan bertambah dekat kepadaNya.
                Ada setengah mereka, muga-muga Allah merahmatinya, telah berkata: Allah tidak suka menyiksa kekasihNya, tetapi Dia mahu mencubanya dan menyuruhnya supaya bersabar. Nabi s.a.w. sendiri pernah bersabda:
“Seolah-olah dunia ini tidak pernah ada, dan seolah-olah akhirat terus kekal pula.”

Nasihat untuk orang yang mengejar dunia
                Wahai orang yang mengejar dunia! Wahai orang yang mencintai dunia! Mari maju ke depan supaya aku menunjukkan kepadamu keaibannya, dan aku tunjukkan kamu jalan menuju kepada Allah azzawajalla, agar engkau berkumpul dengan orang-orang yang menginginkan Allah azzawajalla.
                Kamu sekelian pikun! Dengarlah apa yang aku katakan kepada kamu, kemudian amalkannya dengan penuh ikhlas pada amal kamu itu. Jika kamu buat apa yang aku ajarkan lalu kamu mati dalam amalan itu, nescaya kamu akan diangkat ke tingkat Illiyin (yang tinggi), dan bila kamu memandang ke sana nanti kamu akan memandang asal bicaraku datangnya dari sana, maka barulah kamu akan mendoakan bagiku dan member salam kepadaku serta kamu menyedari hakikat apa yang aku tunjukkan kamu kepadanya.
                Wahai kaum! Hilangkan tuduhanmu terhadap diriku dari hati kamu. Aku bukan main-main dalam bicaraku, dan aku juga tidak inginkan dunia dari bicaraku ini. Aku hanya berkata yang benar dan menunjukkan kepada yang benar. Aku sepanjang umurku selalu menyangka baik terhadap kaum solihin dan aku berkhidmat kepada mereka, dan itulah yang memberikanku manfaat. Aku tidak minta upah daripada kamu atas nasihatku dan bicaraku itu. Harga nasihatku ialah untuk beramal dengannya, iaitu suatu bicara yang memang baik untuk dibuat dalam khalwat dengan penuh ikhlas. Nifak itu akan hilang apabila terputus padanya segala macam tipu-helah dan sebab-musabab. Dipandang keimanan dan keyakinan itu bukan untuk jiwa dan hawa nafsu, yang begini boleh laku kepada orang Mukmin, tidak pada orang munafik.
                Wahai kaum! Tinggalkan semua omong-omong kosong dan cita-cita yang batil, lalu bekerjalah dengan zikir kepada Allah azzawajalla. Berbicara bila ada yang memberikan manfaat buat diri kamu, dan tinggalkan pula apa yang membahayakan kamu. Jika engkau hendak berbicara, fikir dahulu apa yang engkau mahu bicarakan serta pasangkan niat yang baik, kemudian barulah engkau bicara. Sebab itu dikatakan: Lidah orang yang jahil di hadapan hatinya. Dan lidah orang yang berakal lagi alim di belakang hatinya.
                Lebih baik engkau membisukan diri, nanti jika Allah azzawajalla mahu engkau berbicara ditakdirkan engkau berbicara. Jika Dia mahukan bagimu buat sesuatu perkara nescaya disediakanmu untuk itu. Bila hendak berkawan dengan Tuhan mesti membisu terus-menerus, dan bila sudah sempurna bisumu, kelak akan ditakdirkan engkau berbicara pula Insya Allah, ataupun jika Dia kehendaki ditetapkan kebisuan itu sampai datang waktu berhubungan dengan akhirat. Itulah maksudnya dari sabda Nabi s.a.w. :
“Barangsiapa yang mengenali Allah tumpul lisannya.”  (Sayuthi)
                Yakni akan tumpul lisan zahirnya dan batinnya dari menentang Allah terhadap segala apa pun, semuanya menjadi setuju dan rela tanpa ada tentangan. Buta kedua belah mata hatinya dari memandang kepada selain Dia, rahsianya terkoyak-koyak, perkaranya hancur-luluh, harta kekayaannya terpisah-pisah dan dia terkeluar dari wujudnya sehingga hilang daripada hatinya dunianya dan akhiratnya, dan lenyap pula namanya dan bentuknya. Allah berfirman:
(Maksud:) “Kemudian jika Dia kehendaki disebarkanNya.” Abasa 22
Dia telah mewujudkannya sebelum ada, mengembalikannya menjadi makhluk lain, membinasakannya dengan kuasa kebinasaan, lalu dikembalikannya supaya dia memohon untuk bertemu, kemudian dikembalikannya agar Dia menyeru semua makhluk dari kefakiran kepada kekayaan. Kekayaan di sini ialah kekayaan dengan Allah Ta’ala dan berhubung denganNya. Dan kefakiran ialah terjauh daripada Allah Ta’ala akibat melupakan Allah dan kecukupan dengan selain daripada Dia.

Hakikat kaya ialah kaya dengan Allah
                Orang yang kaya ialah orang yang menang hatinya dengan mendekati Tuhannya azzawajalla, manakala orang yang fakir ialah siapa yang tiada mencapai semua itu. Jadi siapa yang mahukan kekayaan ini, hendaklah dia meninggalkan dunia dan akhirat dan segala yang ada di dalamnya, bahkan apa saja selain dari Allah secara total. Dia harus mengeluarkan semua perkara dari dalam hatinya, satu demi satu. Jangan bergantung dengan sedikit yang ada di tangan kamu sekarang ini. Hanya sanya diberikan yang sedikit ini pada sisi kamu ialah supaya kamu menjadikannya bekal untuk menggunakannya dalam perjalanan menuju kepada Allah. Dijadikan semua nikmat ini bagi kamu ialah supaya kamu mengingati Allah yang semua itu datang daripadaNya. Kemudian diberikan kamu ilmu supaya kamu mengamalkannya dan mendapat petunjuk dengan cahaya ilmu itu.
                Ya Allah, ya Tuhanku! Berilah hati kami petunjuk untuk menuju kepadaMu, dan berilah kami kebaikan di dunia, dan kebaikan di akhirat, serta selamatkanlah kami dari api neraka!

No comments:

Post a Comment